Melihat Dengan Mata Akal


Marilah kita sama-sama menghayati kisah Imam Abu Yusuf yang berlaku pada dirinya semasa kecil. Kisah ini mengandungi banyak pengajaran buat kita semua.

Ayahku meninggal apabila aku masih kecil. Lalu ibu membawaku kepada seorang tukang jahit untuk belajar ilmu menjahit daripadanya. Setiap kali aku pergi ke kedai jahit, aku melalui tempat dimana berlansung majlis ilmu Abu Hanifah. Aku singgah dalam majlis itu untuk mendengar pengajaran beliau. Apabila itu berlaku, ibuku segera datang dan menarik tanganku. Dia membawa aku keluar dari majlis itu, lalu ke kedai jahit semula.

Suatu hari, aku memutuskan untuk meninggalkan kursus jahitanku. Aku ingin hadir dalam majlis Abu Hanifah sepenuh masa. Aku lalu melakukannya. Beberapa masa kemudian, ibuku menemui Abu Hanifah sambil marah-marah. Ibuku berkata kepada beliau “budak ini anak yatim. Kami tidak memiliki apa-apa selain hasil pekerjaanku memintal benang. Oleh sebab itu, aku ingin dia belajar menjahit agar boleh membiayai hidupnya. Namun sekarang, engkau telah merosakkan anakku.”

Imam Abu Hanifah berkata “tenanglah, puan. Dia sekarang sedang belajar ilmu agama. Suatu hari nanti, ia akan menyantap faluzaj yang bercampur dengan minyak pistachio.” (Faluzaj yang disebut Imam Abu Hanifah ialah sejenis kek mewah yang hanya dimakan oleh raja-raja dan orang kaya zaman itu.)

Namun ibunya semakin marah lalu berkata “engkau orang tua yang sudah nyanyuk!” Si ibu terus bangkit dan meninggalkan majlis Imam Abu Hanifah.

Abu Yusuf terus mencatat kejayaan dalam pelajarannya. Saban hari namanya makin terkenal sebagai pakar fiqah dan hadis yang disegani. Apabila khalifah Al Hadi menubuhkan satu jawatan khas dalam kerajaannya yang dinamakan Qadi Al Qudat, khalifah segera melantik Abu Yusuf memangku jawatan tersebut. Maka jadilah Abu Yusuf hakim agung yang pertama didunia. Seluruh negeri jajahan Bani Abbasiyah yang meliputi hampir 1/3 dunia berada di bawah kekuasaannya. Beliau terus memangku jawatan tersebut hingga masa pemerintahan Khalifah Harun Al Rasyid.

Abu Yusuf berkata “suatu hari ketika aku sedang bersama Harun Al Rasyid, tiba-tiba dihidangkan kehadapan beliau sebiji kek yang sangat mewah. Aku tidak mengenali kek itu kerana tidak pernah melihat seumur hidupku.”

Harun berkata kepadaku “wahai tuan hakim,cecapilah makanan ini. Bukannya selalu dibuat untuk kita.” Aku bertanya “apakah nama kek ini wahai amirul mukminin?” beliau menjawab “inilah faluzaj bercampur minyak pistachio.” Mendengar itu, Abu Yusuf Tersenyum. Khalifah bertanya “kenapa tuan tersenyum?” Abu Yusuf berkata “tidak ada apa-apa, tuanku”. Khalifah merayunya “beritahukanlah aku”. Maka Abu Yusuf menceritakan kisah dirinya seperti diatas, dari awal hingga  akhir.

Mendengar kisah itu Harun Al Rasyid menjadi sangat teruja. Beliau berkata “sesungguhnya ilmu dapat bermanfaat dan mengangkat darjat manusia didunia dan akhirat. Semoga Allah merahmati Abu Hanifah. Beliau mampu melihat dengan mata akalnya apa yang tidak terlihat oleh mata kepalanya”.

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu