Gesa jangan tutup pejabat pos

TEMANGAN - Lebih 2,000 penduduk Temangan meminta Pos Malaysia mempertimbangkan semula keputusan menutup pejabat pos di sini, pertengahan bulan ini.

Baru-baru ini, penduduk dikejutkan dengan pengumuman Pejabat Pos akan ditutup dan digantikan dengan pos bergerak mengikut hari dan masa yang ditetapkan Pos Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pasir Senor, Abdul Hamid Ibrahim berkata, Pos Malaysia diminta mempertimbangkan semula keputusan itu demi kepentingan orang ramai terutama penduduk Temangan dan kawasan sekitar.

Katanya, pejabat pos yang sedia ada hanya perlu ditambahbaik dan bukannya ditutup terus bagi menyediakan kemudahan kepada orang ramai yang rata-ratanya bukan orang senang.

“Walaupun disediakan pos bergerak namun ia tidak sama dengan pejabat pos yang sedia ada ini.

“Penduduk perlu tergesa-gesa dan mematuhi masa yang ditetapkan pada hari-hari tertentu.

“Kami mohon penutupan ini dipertimbangkan semula,” katanya mewakili penduduk Pasir Senor, di sini, semalam.

Pengerusi JKKP Bandar Temangan, Che Mohd Shah Che Lah berkata, penutupan tersebut menyebabkan penduduk terpaksa mengeluarkan kos pengangkutan yang bukan sedikit untuk ke bandar Machang.

Katanya, rata-rata penduduk di sekitar Temangan bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak menentu dan ia akan membebankan mereka.

“Ramai penduduk di sini, menyatakan kebimbangan mereka jika pejabat pos ditutup walaupun bakal digantikan dengan pos bergerak.

“Kami berharap perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak terbabit.

“Ramai pengguna di sini, kami rasa tidak wajar pejabat pos ini ditutup termasuklah penduduk yang tinggal di kampung pedalaman seperti Kuala Hau dan sebagainya,” katanya.

Pengerusi JKKKP Temangan Lama, Mustapha Derasid berkata, jika pejabat pos turut ditutup di Temangan, pekan tersebut seolah-olah pekan mati dan penduduk terpaksa ke bandar Machang bagi melakukan pelbagai urusan.

“Jika bayaran bil, pos surat dan barangan boleh dilakukan di pekan ini namun keadaannya pasti jauh berbeza apabila pejabat pos ini ditutup walaupun digantikan pos bergerak.

Tambang ke Machang sahaja RM6 (pergi balik) dan kosnya akan meningkat pada hari Isnin memandangkan ia hari besar, Pasar Isnin,” katanya.

Pengerusi JKKP Pertok. Ahmad Abu Bakar berkata, keputusan tersebut perlu mengambil kira keperluan dan kemudahan rakyat terutamanya masyarakat luar bandar.

Katanya, walaupun menyedari bangunan pejabat itu terlalu uzur, namun ia memainkan peranan penting.

Source : Sinar Harian

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu