Gerai di bulatan Lemal dirobohkan



PASIR MAS - Pisang goreng, air kelapa dan beraneka jenis kuih muih yang dijual di deretan gerai berhampiran bulatan Lemal di sini, sudah sebati dengan penduduk setempat dan orang ramai yang melalui jalan tersebut.
Namun, setelah lebih 50 tahun beroperasi, deretan gerai berhampiran bulatan itu akhirnya terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membesarkan laluan dari Jambatan Salor, Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Kerja-kerja merobohkan gerai tersebut sudah bermula sejak kelmarin oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun peniaga sendiri selepas PBT mengeluarkan notis mengosongkan kawasan itu pada 20 Mac lalu.
Perasaan sedih dan pilu dirasai peniaga, Mazlan Ramli, 41, apabila melihat gerai miliknya dirobohkan.
Mazlan berkata, pendapatan sebagai peniaga pisang goreng di laluan berkenaan digunakan ayahnya untuk membesarkan dia dan adik beradik lain.
“Kalau tak silap saya lebih 50 tahun keluarga saya berniaga di sini. Tapak gerai ini juga warisan keluarga.
“Kebanyakan kami mencari rezeki dengan berniaga di gerai ini bagi menyara keluarga,” katanya.
Mazlan berkata, dia menerima perkara itu dengan hati terbuka walaupun masih merasa sedih.
 
Tempat khas bantu peniaga
Mazlan berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat menyediakan tempat baharu bagi membantu peniaga di kawasan berkenaan terus mencari rezeki.
Katanya, peniaga kini buntu untuk mencari tempat bagi memulakan semula perniagaan mereka.
“Kami cuba mengenal pasti lokasi sesuai. Saya harap pihak berkenaan dapat bantu kami. Lagipun kawasan ini sudah terkenal dan menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.
Peniaga, Esah Daud, 65, berkata, dia berniaga di kawasan berkenaan sejak 16 tahun lalu dan jualan air kelapa sudah sebati dengan dirinya.
“Saya buntu nak cari tempat baru untuk berniaga. Saya rayu pihak berkenaan bantu kami dengan sediakan tapak baru,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jajahan Pasir Mas, Dr Che Hamat Che Muda berkata, pihaknya sudah menyediakan tapak di bandar baharu Tasek Raja untuk membantu peniaga berkenaan.
Katanya, bagaimanapun kawasan itu masih belum boleh diduduki kerana mempunyai masalah teknikal.
“Kita akan berusaha bantu mereka. Untuk makluman kita sudah kenal pasti tapak di Mukim Apam, tetapi ia tidak dapat digunakan lagi dalam masa terdekat,” katanya.

Sumber Sinar Harian  24/3/16

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan