Zeti mahu guna baki masa di BNM 'urus' kes 1MDB

KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan  Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, beliau akan meneruskan tindakan pentadbiran ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semasa baki 38 hari perkhidmatan beliau di bank pusat itu.

Beliau berkata, BNM ingin melihat undang-undang dan peraturan dipatuhi bukan sahaja oleh 1MDB tetapi juga syarikat lain yang menjalankan perniagaan di negara ini.

"Saya meletakkan penutup kepada isu 1MDB agar orang akan datang tidak perlu menguruskan perkara itu. Saya mahu menyerahkan tugas dalam keadaan yang bersih," katanya pada sidang akhbar sempena pengeluaran Laporan Tahunan BNM 2015 di sini, hari ini.

Zeti berkata, BNM akan menyerahkan cadangan untuk tindakan pentadbiran diambil ke atas 1MDB berikutan ketidakpatuhan pelaburan mereka di seberang laut.

Menurutnya, penyerahan itu akan dibuat kepada Pejabat Peguam Negara.

Gabenor BNM itu juga berkata, 1MDB telah gagal menyerahkan dokumen sokongan untuk menunjukkan kewangannya di seberang laut telah diguna untuk membayar balik hutang asing serta program penstrukturan semula pada tarikh akhir ditetapkan BNM.

"Pada peringkat ini kami belum menerima bukti dalam bentuk dokumen dan dalam tempoh tertentu yang ditetapkan kepada mereka.

"Setelah kami menilai yang mereka tidak mematuhi sepenuhnya arahan kami, kami sedang meneruskan tindakan penguatkuasaan pentadbiran yang sewajarnya sebagaimana dibenarkan undang-undang," katanya.
Pada 19 Oktober 2015, BNM dalam satu kenyataan berkata, ia boleh mengambil tindakan penguatkuasaan, juga dikenali sebagai tindakan pentadbiran, ke atas pihak yang didapati melanggar atau tidak mematuhi undang-undang dan peraturan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan.

"Tindakan terbabit boleh diambil serentak dengan, dan berbeza dan berasingan daripada prosiding jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa peguam negara.

"Ini bagi memastikan integriti dan keyakinan dalam sistem kewangan," kata bank pusat itu.

Pada 9 Oktober 2015, BNM mengumumkan ia telah membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (ECA) 1953 untuk pelaburannya berjumlah AS$1.83 bilion di luar negara.

Bank Negara juga telah mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan untuk membawa pulang jumlah itu ke Malaysia dan menyerahkan pelannya mengenai perkara itu kepada bank pusat.

Bank itu membuat kesimpulan selepas siasatan yang 1MDB telah memperoleh kebenaran untuk pelaburannya dengan maklumat yang tidak tepat atau pendedahan maklumat penting yang tidak lengkap.

Kenyataan itu merujuk kepada keputusan Pejabat Peguam Negara yang mendapati pegawai 1MDB yang disiasat di bawah ECA tidak membuat sebarang kenyataan palsu dan membersihkannya daripada sebarang salah laku.

Ia berkata, keputusan itu 'berkait dengan cadangan bank itu untuk memulakan pendakwaan jenayah ke atas 1MDB kerana melanggar undang-undang dan peraturan di bawah ECA. - Bernama

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan