Jangan Ambil Tanah Kami Luah Penduduk Berhubung Projek Lembah Binjai

“Kasihanilah kami… Lagipun kami dah lebih separuh abad tinggal di Kampung Chepa. Mana lagi kami nak mengadu lepas ni jika tanah kami diambil begitu sahaja,” kata Halimah Daud, 63.

Itu antara luahan penduduk berhubung projek Lembah Binjai yang turut melibatkan beberapa kawasan termasuk Kampung Chepa, Kampung Binjai, Kampung Pulau Raja, Kampung Pulau Tengah dan Kampung Pulau Hilir.


Isu terbabit timbul apabila milikan tanah mereka didakwa telah diwartakan oleh kerajaan negeri tanpa pengetahuannya sebagai satu kawasan destinasi pelancongan bagi projek agro pembangunan di kawasan Kubang Kerian.

Lebih 500 penduduk di kawasan terlibat mengharapkan wakil kerajaan negeri turun padang dan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan kemelut isu tanah di kawasan itu.

Perkara ini semakin hangat diperbincangkan, selepas kerajaan negeri mengumumkan akan membangunkan kawasan terbabit sebagai Institusi Pelancongan bertaraf moden bernilai RM100 juta dengan keluasan 200 hektar.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa  Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, ketika sidang media 20 Januari lalu, berkata, itu turut menyediakan pembangunan perumahan bagi fasa pertama untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Parlimen Kubang Kerian.

Projek berkenaan juga turut akan menyediakan pasar baharu Kubang Kerian dikenali sebagai Pasar Tok Kenali dijangka memberi kemudahan kepada 500 peniaga.

Melalui projek itu juga milikan tanah tidak lagi menjadi masalah utama, menurut Abdul Fattah, memandangkan penduduk telah bersetuju dengan tawaran kerajaan negeri dan bakal memperolehi kediaman yang lebih baik menggantikan milikan tanah di kawasan yang diwartakan.

Seorang penduduk, Naimah Yasoh, 58, berkata, rundingan perlu dilakukan bagi mencapai kata sepakat sama ada penduduk bersetuju atau sebaliknya dan pampasan perlulah berbaloi.

“Walaupun kerajaan negeri mempunyai hak dalam pentadbiran dan turut menyediakan pampasan, namun soal milikan tanah bukan perkara kecil, biarpun untuk pembangunan kawasan setempat namun perlu ada kata sepakat dan tidak hanya melalui sebelah pihak sahaja.

“Tidak boleh dipandang ringan, sebab tanah yang saya duduki ini pusaka keluarga. Jadi sudah semestinya saya inginkan penjelasan dan sekiranya tanah kami diambil apa yang kami peroleh? Itu perlu dibincangkan secara jelas,” soalnya.

Sementara itu dakwa seorang lagi penduduk, Che Esah Che Aziz  54, berkata, ada penduduk tidak tahu bahawa kawasan mereka akan diambil dan diwartakan untuk projek pembangunan di Kubang Kerian.

“Kami hanya tahu bila tengok akhbar projek ini akan dibina atas tanah kami. Persoalan kami tidak pernah menerima surat atau sebarang pemberitahuan mengenai hal ini,” dakwanya.

“Majoriti penduduk tidak berpuas hati dan mendesak kerajaan negeri menarik balik warta yang telah dilakukan dan membuat langkah-langkah yang bijaksana untuk menangani isu ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk Fauzi Hussin, 50, mewakili penduduk meminta jasa baik kerajaan untuk menarik balik pewartaan tersebut demi rakyat di sini.

“Ramai yang sudah menetap lama dan berniaga. Ada projek ternakan. Penduduk tak akan biarkan kawasan mereka diambil sewenangnya tanpa persetujuan,” katanya.

Ekoran perkara terbabit seramai 14 keluarga yang terlibat membuat laporan polis di Balai Polis Binjai 27 Mei lalu.

Sumber : Sinar Harian 6 June 2017

Follow IG Maafsebut & Like FB Maafsebut & Joint Group FB Jawatan Kosong Kerja Kosong Kelantan

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu