Sunyi Tanpa Tok Guru Nik Aziz




Sunyi Tanpa Tok Guru Nik Aziz


Setelah tiga tahun pemergian murabbi ummah, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Medan Ilmu yang sinonim dengan Kuliah Tok Guru pada setiap Jumaat kini boleh katakan semakin hilang seri dan auranya.

Walaupun tidak semeriah dulu, Medan Ilmu yang terletak di Jalan Dato’ Pati di tengah bandar Kota Bharu masih menjadi tempat rakyat Kelantan berkongsi ilmu agama menerusi ceramah disampaikan ustaz jemputan dan pimpinan Pas.

Menerusi pengamatan penulis juga, biarpun tidak dapat memberikan jumlah yang tepat bilangan mereka yang datang ke dataran ini, namun dalam tempoh 11 tahun ini dapat merasakan perbezaannya terutamanya semasa Allahyarham Nik Aziz masih ada.

Boleh dikatakan lautan manusia seawal pagi lagi sudah menunggu kedatangan menteri besar itu datang mencurahkan ilmu, auranya sangat berbeza dengan sekarang. Bukan mahu menolak kehebatan penceramah yang ada tetapi hakikatnya boleh dilihat apabila ruang-ruang kosong nampak begitu jelas.


Jika dibandingkan dengan dahulu, mahu berjalan mencari ruang tempat duduk untuk mendengar kuliah pun agak susah, bimbang takut tersadung orang sedang khusyuk mengikuti ceramah. Ruang kaki lima pun penuh, tapi sekarang masih lagi ramai datang cuma tidak sehebat dulu.
Namun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pengalaman sebegitu tidak lagi dirasai.

Meskipun begitu, diri masih bersyukur dan bertuah kerana diberikan peluang untuk sama-sama mengutip ilmu agama di samping menjalankan tugas sebagai wartawan.

Dulu, diibaratkan berpanas dan berhujan dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi untuk menghabiskan waktu kuliah pun tidak mengapa kerana apa yang keluar dari mulut Tok Guru itu dinanti-nantikan bahkan ia akan melekat di hati sampai bila-bila.

Bagaimanapun perlu diakui tradisi yang dilakukan Allahyarham Nik Aziz itu yang diteruskan kepimpinan Pas sekarang ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat menerusi perkongsian ilmu agama bahkan turut membantu menjana pendapatan peniaga-peniaga kecil.




Medan Ilmu bukan sahaja menjadi tempat mendengar ceramah tetapi terdapatnya bermacam-macam jenis barangan dijual daripada kuih-muih, lauk pauk, sayuran, buah-buahan, ulam-ulaman dari ceruk kampung, pakaian dan pelbagai lagi benda yang sukar dicari di pasar-pasar biasa pun ada.

Jika ada yang berpandangan, Medan Ilmu sekarang ini lebih meriah dengan aktiviti jual beli, itu memang betul. Namun, sambil berniaga mereka sebenarnya pasang telinga mencari pengisian ilmu agama untuk diri sendiri.

Sumber - Sinar Harian




Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan