Kak Dah Jual Nasi Lemak Di Kuala Terengganu Mampu Dapat RM2000 Sehari




Kak Dah Jual Nasi Lemak Di Kuala Terengganu Mampu Dapat RM2000 Sehari


Pendapatan kira-kira RM2,000 sehari menjual nasi lemak hanya dalam tempoh enam jam, iaitu bermula 2 pagi hingga 8 pagi yang diusahakan oleh Siti Zubaidah Ali, 54, dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu, seharusnya dijadikan inspirasi kepada wanita lain.

Sebelumnya Siti Zubaidah hanya pembantu pembuat nasi lemak, tetapi nekad berniaga sendiri dengan menamakan gerainya, Nasi Lemak Kukus Kak Dah CD, dibangunkan sejak 10 tahun lalu.







Beliau yang selesa dipanggil Kak Dah berkata, pengalamannya bekerja sebagai pembantu pembuat nasi lemak di sekitar kawasan berkenaan, dengan gaji sekitar RM20 sehari, dilihat tidak mencukupi.


Demi kelangsungan hidup tujuh beranak itu termasuk suaminya, Kak Dah cuba berjinak-jinak mengusahakan jualan nasi lemak di rumahnya memandangkan kawasan Pasir Panjang, terkenal dengan juadah itu di negeri ini.

“Saya memulakan perniagaan ini dengan dibantu anak-anak berbekalkan wang simpanan keluarga secara kecil-kecilan di lorong rumah kami ini.




“Pada masa itu kami mengambil keputusan untuk menjual nasi lemak pada jam 2 hingga 8 pagi, namun apabila semakin hari perniagaan kami mendapat sambutan waktu mula jualan terpaksa diawalkan pada 12.30 tengah malam hingga 8 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Penerima Anugerah Usahawan Daerah Syahbandar 2017 itu berkata, apabila nasi lemak diusahakannya semakin mendapat sambutan beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk menggaji pekerja bagi mempercepatkan lagi persiapan juadah yang disediakan.


“Saban hari nasi lemak ini semakin mendapat sambutan malah kami perlu menyiapkan kira-kira 2,000 bungkus sehari untuk dihantar ke 31 gerai sarapan pagi di sekitar bandaraya ini dan ke Marang.

“Justeru, sehingga kini kami mempunyai 16 pekerja tetap termasuk lima orang yang diamanahkan untuk menjaga dua gerai di Pantai Batu Buruk dan Bukit Bayas,” katanya.




Walaupun jualan nasi lemaknya kini mampu mencecah 4,000 bungkus sehari pada satu masa, Kak Dah enggan mendabik dada malah menyimpan hasrat untuk melebarkan sayap perniagaannya dengan mencuba pasaran di ibu negara.

Katanya, nasi lemaknya berlaukkan ikan tongkol, bilis dan ayam. Nasi lemak yang dihantar ke gerai dijual dengan harga RM1.30 sebungkus manakala pelanggan yang datang ke rumah dan ditambah lauk harganya berlainan.


“Sebelum ini kami sekeluarga sudah berbincang untuk memperbesarkan lagi jenama Nasi Lemak Kukus Kak Dah CD ke ibu negara, namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan sementara kerana perkara yang tidak dapat dielakkan.




“Bagaimanapun, Insyaallah, jika tiada halangan sebelum hujung tahun ini kami sekeluarga akan cuba untuk membuka cawangan nasi lemak ini di Damansara, Selangor yang akan diuruskan oleh anak bongsu saya,” katanya.

Kini beliau boleh berbangga kerana berjaya membina empayar, iaitu pengusaha nasi lemak di Pasir Panjang, malah menyimpan hasrat untuk melebarkan sayap perniagaannya ke ibu negara.

Sumber Berita Harian







Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu