Tanah Merah, Machang Berisiko Banjir Lebih Dahsyat

Daerah Tanah Merah dan Machang berisiko dilanda banjir lebih dahsyat daripada bah kuning 2014 jika jambatan kedua menghubungkan dua daerah itu dibina di lokasi asal dari Kampung Joh ke Belimbing melalui Pulau Raya, dekat sini.


Jurutera Jajahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Tanah Merah, Mazlan Mustafa berkata, hasil kajian teknikal JKR mendapati reka bentuk jambatan untuk lokasi asal boleh menghalang aliran sungai pada musim banjir kerana melibatkan pembinaan tambak.

Menurutnya, tambak sepanjang 500 meter dengan ketinggian tiga meter di atas Pulau Raya itu sebahagian daripada keseluruhan struktur jambatan sepanjang 1.1 kilometer yang akan dibina merentasi sungai jika projek tersebut dikekalkan di lokasi asal.

"Jambatan sepatutnya dibina secara struktur elevated sepanjang rentasan sungai dan bukannya ada tambakan merentangi sungai yang boleh mengundang limpahan sungai serius jika banjir besar.

"Jika berlaku limpahan akibat laluan air sungai terhalang oleh tambakan tersebut, bukan sahaja Pulau Raya tenggelam, malah daerah ini dan Machang akan menanggung banjir lebih dahsyat daripada bencana pada 2014," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan lebih 100 penduduk Mukim Belimbing supaya lokasi asal jambatan kedua dari Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing melalui Pulau Raya dikekalkan.

Mazlan berkata, tambak atas pulau melintang sungai juga bertentangan kehendak teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu sebarang pembinaan jambatan tidak sepatutnya mengganggu aliran semula jadi sungai terutama aliran musim banjir.

"Bajet kira-kira RM70 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk projek ini pula tidak mencukupi untuk membina jambatan konkrit sepenuhnya tanpa melibatkan pembinaan tambak," katanya.

Tambahnya, atas sebab teknikal dan kekangan bajet itu, JKR mencadangkan lokasi jambatan kedua dipindah dan dibina dari Kampung Mata Air di Machang ke Kampung Paloh di Tanah Merah kerana lebih praktikal dan lebih jimat.

"Lokasi baharu ini mempunyai jarak rentasan sungai lebih pendek iaitu hanya 500 meter yang membolehkan jambatan sepenuhnya dibina tanpa mengganggu aliran sungai ketika banjir," katanya.

sumber Sinar Harian 

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu