Najib Jelaskan Isu 1MDB


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak sepatutnya dipersalahkan di atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau menjelaskan tidak mengetahui wang berbilion dolar dalam akaun peribadinya.

Namun, beliau mempunyai penjelasan mengenai sejumlah wang tunai, beg tangan mewah dan barang kemas yang baru dirampas dari rumahnya oleh pihak berkuasa.

Bercakap kepada Reuters dalam temubual pertama beliau sejak kekalahan mengejut pada 9 Mei lalu, Najib berkata, penasihatnya dan pihak pengurusan dan lembaga 1MDB, secara tidak sengaja menyimpan rahsia dakwaan menggelapkan dana tersebut daripadanya.

Perdana Menteri baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Reuters pada Selasa bahawa pihak berkuasa mempunyai "kes yang hampir sempurna" terhadap Najib atas tuduhan penggelapan, penyelewengan dan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB.

Najib dalam beberapa komen terdahulunya mengenai skandal 1MDB berkata, beliau tidak tahu sekiranya ratusan juta dolar yang berada di dalam akaunnya adalah dari sumber 1MDB hingga terjerat ke perolehan aset secara global seperti kapal layar, lukisan, permata dan hartanah.

"Saya tidak terlibat dengan kapal layar, lukisan... saya tidak pernah melihat lukisan itu," kata Najib.

"Saya tidak menyedari pembelian ini. Ia dilakukan tanpa pengetahuan saya. Saya tidak akan memberi kuasa kepada dana 1MDB untuk digunakan untuk mana-mana barang-barang ini. Saya sudah lama berkhidmat dengan kerajaan, saya tahu apa yang betul dan apa yang salah," kata Najib dalam wawancara yang diadakan di Langkawi. 

Beliau menyalahkan lembaga 1MDB, dengan mengatakan ia ada tanggungjawab mereka untuk memberitahunya sekiranya terdapat salah laku.

Hadiah perkahwinan

Pasukan penyiasat percaya Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor telah mengumpulkan sejumlah besar kekayaan dan harta dengan menggunakan dana kerajaan. 

Hampir 300 kotak beg berjenama dan berpuluh-puluh beg yang dipenuhi dengan wang tunai dan barang kemas adalah antara barangan yang dirampas oleh polis dalam serbuan di beberapa kediaman yang dikaitkan dengan keluarga Najib. 

Barangan termasuk beg tangan beg Birkin dari pembuat barangan mewah Hermes, masing-masing bernilai mencecah ratusan ribu dolar.

Najib berkata, rampasan beg tangan dan barangan mewah lain menimbulkan persepsi negatif tetapi kebanyakannya merupakan hadiah yang diberikan kepada isteri dan anak perempuannya, dan ia tiada kaitan dengan 1MDB.

"Ya, ini adalah hadiah, terutamanya kepada anak perempuan saya, semuanya sebenarnya dilabelkan: bila, oleh siapa," katanya sambil menambah bahawa kebanyakannya adalah hadiah pernikahan.

Najib berkata, menantunya, Daniyar Nazarbayev, anak saudara kepada Presiden Kazakstan, Nursultan Nazarbayev, juga memberi banyak hadiah kepada Rosmah.

"Orang mungkin sukar untuk faham, tetapi menantu saya misalnya, dia mendapat Birkin daripada sumbernya, lima atau enam pada satu masa," katanya sambil menambah ia tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB sekiranya ia dari Kazakhstan.

Beliau juga berkata, RM114 juta ditemui kediaman keluarganya di Kuala Lumpur merupakan dana parti milik Umno, di mana beliau menjadi presiden sehingga meletak jawatan tidak lama selepas pilihan raya umum.

Permata merah jambu

Pendakwa Amerika Syarikat (AS) mendakwa lebih AS$4.5 bilion (RM18.02 bilion) dana 1MDB terlibat dalam urus niaga yang kompleks.

Jabatan Hakim AS (DoJ) telah memfailkan beberapa tindakan undang-undang membabitkan aset kira-kira AS$1.7bilion (RM6.8 bilion) yang dipercayai dicuri dari 1MDB.

Beberapa aset yang dicari termasuk lukisan Picasso, hartanah mewah di California Selatan dan New York, saham dalam syarikat produksi Hollywood dan kapal layar AS$265 juta (RM1.06bilion), dan barang kemas bernilai lebih AS$200 juta (RM800.9 juta), termasuk 22 karat berlian merah jambung dan kalung berlian.

Najib berkata, set barang kemas ini juga bertujuan untuk dijadikan hadiah buat Rosmah tetapi isterinya tidak pernah menerimanya.

"Dan sehingga hari ini kita tidak tahu... dia mengatakan item itu tidak berada dalam simpanannya," kata Najib.

Dalam temubual itu, Najib buat kali pertama juga bercakap tentang Low Taek Jho, ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Penyiasat AS dan Malaysia menamakan Jho Low sebagai individu penting yang mendapat manfaat daripada dana 1MDB.

Najib berkata, beliau merasakan bahawa hubungan Jho Low di Timur Tengah, terutama dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, boleh membantu menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

Tetapi kata Najib, beliau tidak pernah mengarahkan Jho Low untuk terlibat dalam 1MDB, dan tidak mempunyai kawalan ke atas apa yang dilakukannya.

"Saya tidak memberi arahan kepadanya, tetapi dia secara sukarela melakukan perkara-perkara tertentu, yang mana fikirnya akan membantu 1MDB. Tetapi setiap yang dilakukannya adalah tanggungjawab pengurusan dan lembaga."

Malaysia berusaha untuk menahan Jho Low, dipercayai berada di luar negara, kerana penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Beliau menyifatkan Jho Low dan anak tirinya, Riza sebagai kawan tetapi berkata beliau tidak menyedari sebarang urusan yang melibatkan dana 1MDB dalam syarikat produksi Hollywood milik Riza, yang menghasilkan pelbagai filem antaranya The Wolf of Wall Street.

Ditanya sama ada beliau masih berhubung dengan Low, Najib berkata: "Kami terputus hubungan lagi, saya tidak tahu di mana dia berada."

Hubungan Arab Saudi

Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam 1MDB. Beliau berkata, AS$681 juta dipindahkan ke akaun bank peribadinya adalah derma dari Arab Saudi dan bukan dari dana 1MDB.

Najib berkata, beliau diberi jaminan dari Allahyarham Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud bahawa Arab Saudi akan menghantar sumbangan.

"Apa yang saya tahu, saya menerima wang itu daripada Raja Abdullah,” katanya.

Menurut Najib, beliau tidak mengetahui sebarang urus niaga yang melibatkan akaun peribadinya, kerana beliau telah melantik Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil untuk menguruskannya.

SPRM telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Nik Faisal namun sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.

Tiada rancangan untuk lari

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau bertekad untuk tinggal di Malaysia dan berjuang menentang sega;a tuduhan itu, walaupun beliau berdepan kemungkinan akan dipenjarakan.

"Tidak, saya tidak pernah bercadang untuk lari, kerana jika saya pergi, terdapat tanggapan bersalah," katanya.

"Saya tidak boleh menjadi buruan untuk sepanjang hayat, saya mahu membersihkan nama saya."

Sumber Reuters & The Star

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan