Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Hanya Bermula Pada Tahun 2020

Projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, LTSIP, Pengkalan Chepa, Kota Bharu dijangka bermula pada tahun 2020 dengan melibatkan kos lebih RM500 juta.


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan  untuk projek pembesaran LTSIP dan proses pengeluaran tendernya akan dibuat tidak lama lagi.

"Pada masa ini penumpang yang menggunakan LTSIP amat padat dengan jumlah penumpang tahun ini dijangka melebihi dua juta orang dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat sehingga empat juta orang beberapa tahun akan datang," katanya selepas majlis pecah tanah pembinaan depo dan stesen kereta api KTMB Tumpat di sini, hari ini.
Katanya lagi, projek pembesaran dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Kompleks baru LTSIP itu akan dibina bertingkat bagi mengasingkan ruang pelepasan dan ketibaan dan pada masa sama bagi menampung penambahan penumpang.

“Kerajaan Persekutuan bagi pengiktirafan kepada negeri Kelantan dan mengambil kira kepentingan pembangunan infrastruktur serta kemudahan di negeri ini,” tambahnya.

LTSIP antara lapangan terbang sibuk di negara ini dengan lebih 45 penerbangan keluar masuk setiap hari.

Sementara itu, mengenai depo baharu KTMB katanya, ia bertujuan untuk menerima gerabak dan kepala baru jenis DMU  yang dijangka sampai penghujung tahun ini.

Setakat ini katanya, tambang yang dikenakan kepada pengguna keretapi Tumpat-Kuala Lumpur tidak akan dinaikkan walapun KTMB menukar gerabak jenis DMU untuk laluan berkenaan pada masa akan datang.

Sumber : Astro Awani
Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Hanya Bermula Pada Tahun 2020 Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Hanya Bermula Pada Tahun 2020 Reviewed by Maaf Sebut on September 27, 2018 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.