Roti Paung Terengganu Dijual Hingga Ke Luar Negara


Biarpun premis My Mom Roti Paung Panas berpangkalan di Taman Mega, Kampung Wakaf Baru, di sini pelanggan luar tetap berpeluang merasai keenakan roti itu menerusi perkhidmatan kurier yang disediakan ke serata dunia.

Pemiliknya, Wan Muhd Hazli Wan Khalid, 36, berkata jarak bukan menjadi penghalang malah penghantaran roti melalui kurier memudahkan pelanggan untuk membuat pesanan.




“Setiap bulan, sekurang-kurangnya 500 biji roti paun dihantar ke serata negeri termasuk Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei Darussalam.

“Sebiji roti paun berharga RM5 dan caj penghantaran kurier adalah percuma bagi setiap pembelian melebihi 15 biji.

“Selalunya pelanggan tetap terutamanya dari Kuala Lumpur dan Selangor kerap membuat tempahan dalam skala besar selepas menikmati keenakan roti paun yang dibeli semasa berkunjung ke sini,” katanya kepada BH.


Dia berkata, dengan hanya bermodalkan RM10,000, perniagaan yang bermula dari rumah sejak tahun 2002 itu berkembang sehingga sebuah premis dibuka bagi memudahkan operasi.

“Terdapat tujuh perisa berbeza yang disediakan iaitu planta, coklat, planta keju, kacang, kaya, kelapa dan biskut.

“Setiap hari, dua guni tepung digunakan untuk menghasilkan kira-kira 500 biji roti yang setiap satu akan siap sepenuhnya hanya dalam tempoh 10 minit.



“Lebih menarik lagi, bahagian bawah roti terbabit akan dibakar sebentar atas dapur khas menggunakan batu sungai sejurus selepas dikeluarkan daripada ketuhar bagi memberikan rasa garing yang lebih enak,” katanya.

Wan Muhd Hazli berkata, perancangan untuk mengembangkan perniagaannya sedang disusun namun tumpuan sepenuhnya diberikan terhadap kawasan Pantai Timur terlebih dahulu.


“Saya sedang merancang untuk membuka cawangan sama ada di Kuala Lumpur atau sekitar Selangor.

“Bagaimanapun, saya masih pertimbangkan pilihan lain memandangkan pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk lokasi dan bilangan pekerja,” katanya.

Penggemar roti paun, Azliana Alis, 33, berkata dia tidak melepaskan peluang untuk membeli roti paun setiap kali berkunjung ke Kuala Terengganu.

“Teksturnya yang lembut dan rasanya yang enak apatah lagi tatkala dinikmati ketika panas membuatkan saya menjadi seorang pelanggan yang setia.

“Kalau tiba-tiba teringin nak makan roti paun ini di Kuala Lumpur, saya akan memesannya menerusi perkhidmatan kurier yang disediakan,” katanya.

Sumber: berita harian




Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu