Kerajaan Negeri Terengganu Mahu Kaji Dasar Perumahan Supaya Lebih Banyak Rumah Mampu Milik Dapat Dibina Di Terengganu





Kerajaan negeri bersedia  mengkaji dasar pembangunan perumahan baharu bagi membolehkan lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMM) di bina di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, kajian itu dijalankan setelah pihaknya mendapati dasar pembangunan perumahan sedia ada merugikan dan tidak memberikan pulangan kepada pelabur.

“Keadaan ini menyebabkan tiada pelabur (swasta) yang sanggup untuk membina RMM dalam skala besar di Terengganu kerana dasar kita yang sedia ada agak tidak ‘mesra’ dan merugikan mereka.




“Sebagai contoh, RMM jenis A bagi golongan B40 dijual pada harga RM68,000 hingga RM70,000 sedangkan kos pembinaan yang perlu ditanggung oleh pelabur ialah sekitar RM RM120,000 hingga RM140,000.

“Keadaan itu sudah tentu merugikan pelabur terutama dalam kalangan pelabur swasta,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bengkel Perumahan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, dasar baharu akan dirangka bagi mengkaji semula dasar perumahan kerajaan negeri yang telah di gubal sejak Julai 2017 itu.




“Kewangan kerajaan semata-mata memang tak mampu untuk menampung pembinaan RMM yang mendapat permintaan yang tinggi, oleh itu, kita perlu kepada pelabur-pelabur swasta.

“Jadi, kita akan kaji dasar baharu bagi membolehkan kita menarik lebih ramai pelabur seterusnya mencapai sasaran kita untuk membina 5,000 unit RMM dalam tempoh setahun. Perkara ini perlu dilihat secara holistik supaya mampu mencapai sasaran 20,000 unit RMM bagi tempoh sepenggal ini,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab persoalan mengenai harga jualan RMM setelah dasar baharu diputuskan, katanya, ia akan dipertimbangkan dengan mengambil kira segenap aspek termasuk harga jualan RMM.




“Kita ambil keputusan mengkaji semula dasar ini supaya lebih mesra kepada pelabur dan dalam masa yang sama tidak menidakkan hak rakyat untuk memiliki kediaman.

“Kita nak wujudkan win- win situation (situasi menang-menang) di mana pelabur tidak rugi dan dalam masa yang sama tidak kaut untung yang besar. Di samping membina rumah komersial, kita juga mahu supaya pelabur swasta dapat sediakan juga RMM,” katanya.

Sumber Teganukita.net




Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu