Jual Kuih 10 Sen Untuk Bantu Orang Susah


Berniaga sambil beramal. Itu prinsip  Roslina Saad, 51, dan suaminya, Zulkifli Abdul Razak, 52, yang menjual kuih dengan harga 10 sen atau di negeri-negeri utara Semenanjung nilai itu lebih dikenali sebagai sekupang.

Memiih menjual kuih-muih pada harga sedemikian bertitik tolak pada nilai kemanusiaan yang ada dalam diri pasangan suami isteri itu berbanding mengaut keuntungan di atas penderitaan orang lain.
Memahami kepayahan dan keperitan golongan penoreh getah dengan harga getah yang jatuh ditambah musim hujan sehinggakan mereka tidah dapat menoreh menyebabkan pasangan suami isteri di Felda Lubuk Merbau, dekat Padang Terap, Kedah mencari alternatif berniaga sambil membantu golongan peneroka felda ini.



Antara kuih yang boleh dinikmati dengan harga sekupang adalah cucur badak, karipap, onde-onde, cucur kacang, keria, buah melaka, lopeh dan bermacam-macam lagi.

Menurut Roslina, niatnya menjalankan urus niaga pada nilai sebesar 10 sen itu adalah untuk memastikan semua orang dapat menikmati makanan berkenaan pada harga murah selain mengelak berlakunya pembaziran terutama dalam bulan Ramadan.

Katanya, apatah lagi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini turut membatas pergerakan penduduk di sini untuk keluar mencari rezeki.

"Keuntungan sama banyak dengan cucoq (cucur)  yang (dijual) tiga keping pada harga RM1 dan empat  keping RM1. Siapa yang buat (berniaga) dia tahu lah.

"Saya buat (berniaga) ini sebab kasihankan orang yang tiada duit nak beli kuih kalau dijual RM1 untuk empat keping, lebih-lebih lagi yang ada anak ramai. Kalau kuih saya ini dijual sepuluh biji harganya RM1 dan boleh campur mana-mana kuih," kata Roslina.



Jelas Roslina,  berikutan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP, dia dan suaminya memilih untuk menjual kuih dari rumah ke rumah di sekitar Felda berkenaan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Setiap hari, katanya, dia dan suami akan keluar berniaga sekitar pukul 4 petang dan lazimnya, lebih 3,000 kuih habis terjual dalam tempoh sejam.

Roslina berkata, pada musim bulan puasa sebelum ini, dia akan mula masuk ke dapur sebaik selesai bersahur untuk membuat persiapan menyediakan dan memasak kuih-muih untuk jualan.



Bagaimanapun, pada tahun ini, katanya, dia hanya ke dapur pada pukul 9 pagi dibantu suaminya menyiapkan 300 keping kuih untuk satu jenis.

Biasanya, setiap hari pasangan berkenaan akan menyiapkan 10 jenis kuih yang berbeza dengan kuantiti keseluruhan mencecah 3,000 keping.

Menjelang pukul 2 petang, Roslina dan Zulkifli siap menyediakan kuih-muih berkenaan sebelum keluar berniaga.

Dalam masa sama, pasangan itu turut mengusahakan perniagaan kuih-muih yang dijual secara beku (frozen) yang turut mendapat sambutan luar bisa daripada pelanggan tetap mereka.

Kata Roslina, dalam sebulan, perniagaan kuih-muih beku boleh terjual sehingga 5,000 keping.

Sementara itu, seorang pelanggan, Intan Shafira Abdul Malik, 23, berkata, kuih yang dihasilkan Roslina turut dikenali sebagai cucuq sekupang atau cucuq semulut kerana saiznya yang kecil.

Katanya, harga luar biasa yang dijual membantu penduduk Felda yang kebanyakan pendapatan mereka bergantung pada hasil getah.

"Macam di Lubuk Merbau ini, (peneroka) tidak ada sumber pendapatan tetap, di sini semua peneroka makan hasil getah saja, kalau hujan lebat tak ada hasil, jadi dengan harga getah yang sangat rendah cucoq sekupang ni boleh bantu la dengan bazar (Ramadan) sekarang tidak ada semasa PKP, jadi boleh bantu masyarakat di sini," katanya.

Sumber Astro Awani

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan