Rayani Air Sasar Keuntungan 3 Tahun Lagi


SYARIKAT penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air menyasarkan keuntungan akan dapat diperolehi selepas tiga tahun beroperasi.
Pengarah urusannya, Jaafar Zamhari berkata, pada ketika ini, Rayani Air akan terus fokus pada perancangan yang sudah dibuat dan berharap ia akan mendapat respons positif daripada pelanggan.
"Untuk tahun pertama ini, kami mahu perluas lokasi penerbangan daripada dua yang sedia ada kepada empat pada awal Januari 2016.
"Ini memandangkan kami boleh terbang dua kali sehari dari Kuala Lumpur ke Langkawi dan juga dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu," katanya selepas tiba dengan penerbangan sulung Rayani Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kelmarin.
Katanya, pasaran penerbangan mempunyai persaingan baik dan ia akan membantu Rayani Air untuk mempertingkatkan kualiti seterusnya terus mendapat kepercayaan pelanggan.
"Awal Januari 2016, Rayani Air akan terbang dari KLIA2 ke Kuching dan Kota Kinabalu.
"Dalam tempoh setahun, kami sasarkan untuk terbang ke lebih tujuh lokasi domestik," katanya.
Tidak hanya domestik, malah Rayani Air akan meluaskan lagi operasi ke rantau Asia seperti Manila, Jakarta, Bangkok dan beberapa ibu negara lagi.
"Kami melihat, rantau Asia juga antara lokasi potensi baik untuk kami. Ini semua sudah ada dalam perancangan kami dan jika tiada aral melintang, ia akan dapat direalisasikan pada 2018 nanti.
"Destinasi ini akan menjadi pengukur kepada Rayani Air untuk terus memberikan saingan dalam sektor penerbangan untuk ke tahap antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, Rayani Air menetapkan tempoh masa lima tahun lagi untuk menyediakan penerbangan untuk Umrah dan Haji.
"Sebagai syarikat patuh syariah, sudah semestinya kita mempunyai sasaran seperti itu. Namun, untuk ke arah itu, kami perlu tingkatkan lagi operasi dan kualiti kami.
"Kerana itu, kami sentiasa menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti serta memenuhi tuntutan patuh syariah ini," katanya.
Rayani Air akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam memperkemaskan langkah dan hasrat untuk memanfaatkan pasaran umrah dan haji.
Ditanya mengenai modal permulaan untuk syarikat itu beroperasi, Jaafar enggan mengulas serta menyifatkan ia masih dalam kadar kemampuan.
"Modal yang kami gunakan sesuai dengan operasi penerbangan. Tidak lebih dan tidak juga kurang.
"Tetapi setakat ini, kami belum membuat sebarang pinjaman daripada mana-mana bank dan berharap ia dapat diteruskan," katanya.
Buat masa ini, Rayani Air mempunyai dua pesawat Boeing 737-400 untuk destinasi perkhidmatan di KLIA2 dan Kota Baharu dan Langkawi.
Memilih Langkawi sebagai pusat operasi, Jaafar berkata, ia bertepatan dengan Langkawi yang terkenal sebagai hab pelancongan.-Sinar Harian

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Apakah Perbezaan Diantara Kabin Kelas Pertama Dan Kelas Perniagaan Didalam Pesawat ?