Wajah Kelantan Bakal Berubah Dengan Membangunnya Tok Bali Industrial Park 2018
Kelantan bakal menerima impak ekonomi yang hebat susulan pembangunan projek Taman Industri Tok Bali (TBIP).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John, tujuan TBIP dibangunkan untuk memenuhi pelaburan swasta yang bakal meningkat di wilayah itu.
"Projek pembangunan yang sedang dan bakal dijalankan di Kelantan adalah sebahagian daripada agenda Kerajaan Pusat untuk memacu transformasi menerusi pelaburan yang lebih besar di kawasan pertumbuhan baru termasuk di Tok Bali.
"Terutamanya dalam bidang pembuatan, perniagaan tani serta sektor minyak dan gas. Pembangunan yang dilaksanakan ini mencerminkan komitmen kami untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri Kelantan dan memberi manfaat kepada para penduduk setempat melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan,” katanya selepas mesyuarat Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Kelantan.
Mesyuarat ICC telah dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam.
Terdahulu, kerja-kerja pembinaan taman industri tersebut dijangka bermula pada 2018.
TBIP merupakan sebuah pusat industri baharu selepas siapnya Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) pada suku pertama 2017.
Di bawah strategi pembangunan untuk Tok Bali, TBIFP yang berukuran seluas 225 ekar bakal meningkatkan pembangunan di Tok Bali serta kawasan berhampiran dan memacu daerah tersebut untuk menjadi hab perikanan utama bagi pasaran tempatan dan ekspot.
Ini mengukuhkan lagi potensi TBIFP untuk menarik pelaburan swasta dalam bidang pemprosesan utama produk berasaskan ikan, otoshimi, mil ikan dan juga dalam industri sokongan seperti kilang air batu serta integrasi dengan sektor ekopelancongan laut dan hospitaliti.
TBSB pula merupakan pangkalan bekalan minyak dan gas yang ketiga di Malaysia yang dibangunkan oleh inisiatif swasta, akan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada industri Petroleum dan Gas Luar Pesisir Bahagian Utara Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Pembangunan TBSB yang seterusnya sedang dalam perancangan dan pelaksanaan mengikut fasa bagi mewujudkan sebuah hab pelaburan untuk para pelabur di Kelantan bagi tujuan eksport.
TBSB juga akan menarik minat syarikat-syarikat sokongan untuk mewujudkan ekosistem yang lebih dinamik bagi syarikat minyak dan gas luar pesisir yang beroperasi di kawasan ini.
Pelaburan kerajaan dalam projek-projek prasarana awam utama seperti Pelabuhan Tok Bali, Jambatan Pengkalan Kubor Tak-Bai Narathiwat dan Lebuhraya Pantai Timur dijangka akan merancakkan lagi peluang pelaburan di Kelantan.
Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan menjadi pengubah utama kerana kemudahan ini akan menghubungkan taman-taman industri dan kawasan pertumbuhan utama di Kelantan termasuk Tok Bali, Kota Bharu dan Tumpat. Ianya bakal memudahkan pengangkutan barangan dan penumpang antara kawasan-kawasan ini melalui Pelabuhan Tok Bali ke hab logistik lain termasuk Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang di Semenanjung Malaysia.
Kos pengangkutan melalui kereta api adalah dijangka 40 hingga 50 peratus lebih rendah berbanding pengangkutan jalan raya dan manfaat ini membolehkan para pelabur di Kelantan untuk menikmati kos pengeluaran yang lebih rendah. Projek ini juga akan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk penduduk tempatan.
Satu lagi projek utama yang dijangka siap pada bulan Mac 2017 adalah Loji Rawatan Air Kelar. Projek ini membolehkan lebih banyak rumah dan perniagaan di kawasan Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang untuk menerima bekalan air bersih terawat yang lebih terjamin. Projek ini yang melibatkan kerjasama Air Kelantan Sdn Bhd juga akan turut membantu meningkatkan pelaburan terutamanya di Taman Industri Halal Pasir Mas di Tumpat, Kelantan.
Sehingga kini, Kelantan telah berjaya membawa masuk pelaburan berjumlah RM12.6 bilion sejak 2007. Usaha ini turut menjana lebih 13,261 peluang pekerjaan untuk rakyat. Sektor pembuatan yang merupakan penyumbang terbesar telah membentuk lebih daripada separuh jumlah pelaburan sebanyak 54.4% diikuti oleh sektor logistik sebanyak 15.9% dan sektor pelancongan sebanyak 11.8%. Pelaburan ini dijangka akan bertambah apabila siapnya projek-projek strategik di Tok Bali.
Sementara syarikat semikonduktor Jepun, Rohm-Wako Electrical (Malaysia) Sdn. Bhd., yang telah beroperasi di Kelantan sejak 1966 dengan 200 peluang pekerjaan pada peringkat awal kini telah berkembang dan mewujudkan 1,700 peluang pekerjaan.
Dengan kedudukan Kelantan yang strategik serta jumlah tenaga mahir yang ramai, syarikat ini berminat untuk terus mengembangkan lagi operasi di negeri ini bagi memenuhi aspirasinya menjadi pusat global pembuatan diod, sejenis peranti semikonduktor khusus yang digunakan dalam industri elektronik untuk telefon bimbit, televisyen, kamera dan juga kenderaan.
Pengembangan ini bakal menyaksikan lebih 2,000 peluang pekerjaan diwujudkan untuk rakyat tempatan.
Daripada segi pembangunan modal insan pula, seramai 13,000 orang rakyat telah mendapat faedah daripada program pembangunan modal insan ECERDC seperti empower ECER, entrepreneur ECER, Program Peningkatan Graduan ECER, Agropolitan, Suri@Home dan TeraS.
Kumpulan pendapatan B40 membentuk 93% daripada jumlah peserta dan ini adalah sebahagian daripada strategi untuk melonjakkan pendapatan dan taraf hidup kumpulan sasar melalui kemahiran baru atau daya keusahawanan.
Pada tahun 2016 sahaja, seramai 938 orang peserta dewasa telah menjadi usahawan dan mereka pula telah mewujudkan 3,218 peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat.
“Untuk 2017, ECERDC berharap dapat menyediakan peluang kepada lebih daripada 6,500 orang rakyat di Kelantan untuk menyertai pelbagai program yang disediakan.
"ECERDC juga akan bekerjasama rapat dengan Universiti Teknologi Mara untuk mempromosikan industri batik tempatan yang menjadi sebahagian daripada budaya dan ekonomi negeri ini. Di peringkat antarabangsa pula, kami akan terus menyediakan sokongan yang diperlukan kepada para usahawan tempatan untuk menjadi pemain global dengan menyertai pelbagai misi perdagangan antarabangsa,” tambah Issace.
Di bawah projek pembangunan semula Kampung Laut, ECERDC akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MITI) untuk menyediakan latihan dan membantu pengeluar makanan tempatan untuk bersedia menjadi pengeksport menjelang tahun 2020.
Selain itu, ECERDC juga akan membangunkan Bukit Bunga sebagai destinasi pelancongan utama dengan projek Plaza IMT-GT, sebuah pusat sehenti untuk para usahawan tempatan mempromosikan dan memasarkan produk mereka. Projek pembangunan plaza baru ini dijangka bermula pada suku ketiga 2017.
Bagi membantu para usahawan meneroka manfaat ekonomi digital, ECERDC telah menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memperkenalkan inisiatif e-Usahawan di Kelantan. Program usahawan digital telah memanfaatkan 13 orang peserta di Kelantan dengan lima daripada mereka telah berjaya mencapai purata jualan dalam talian terkumpul sebanyak RM13,000 sebulan.
“Peningkatan taraf hidup rakyat di Kelantan akan terus menjadi objektif teras bagi projek dan program pembangunan kami. Kami akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membangunkan prasarana awam, meningkatkan promosi pelaburan dan memperkasakan rakyat di negeri Kelantan melalui usaha modal insan kami,” jelas Datuk Seri Issace.
Tentang ECER dan ECERDC:
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan arah tuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.
Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun dan menjadi destinasi pelaburan yang unik, dinamik dan berdaya saing.
ECER meliputi kawasan seluas 66,000 km persegi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau 15% daripada jumlah penduduk Malaysia.
Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh lima kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani dan Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Prasarana, Hartanah dan Persekitaran untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.
Like Facebook Maafsebut untuk info menarik kelantan !!!
Like Facebook Maafsebut untuk info menarik kelantan !!!
Ulasan
Catat Ulasan