Ke Mana Dan Bagaimana Masa Depan Kelantan


NEGERI KELANTAN negeri yang agak unik. Mempunyai mistik dan auranya yang tersendiri. Berbangga dengan jolokan dan gelaran sebagai Serambi Makkah.

Mungkin kerana orang Kelantan alim dan kuat dengan agama mereka!  Sama ada ini betul atau tidak wallah hu'aklam. Yang pastinya orang Kelantan terkenal sebagai masyarakat yang suka berpuak dan amat berbangga dengan asal-usul mereka. Pantang dicabar pantang diselar. Terus melenting sedia berperang.

Dikatakan rakyat Kelantan apabila mereka menyanyangi seseorang, mereka sanggup menyembelih ayam yang bertelur dalam reban untuk dihidang sebagai lauk kepada orang yang mereka sayangi. Tetapi jika mereka mula membenci, bila diminta hampas budu yang mereka hendak buang sekalipun tak diberi mereka.

Teringat semasa PRU 1990 semasa Pas bergabung dengan Semangat 46 di bawah gagasan APU melawan Umno dan BN. Medan politik dijadikan sebagai satu pertarungan di antara orang Kelantan melawan orang luar.Keputusannya APU menyapu bersih 13-0 kerusi Parlimen dan 39-0 kerusi Dun. Begitu hebat sentimen kenegerian mereka. Mungkin sentimen yang sama yang telah mewarnai dan mempengaruhi keputusan PRU14 di Kelantan.

Tapi apakah kebanggaan mereka terbina di atas asas-asas yang kuat dan kukuh? Umpamanya, apakah ianya bersandarkan kepada struktur dan pembangunan ekonomi yang mantap, pengetahuan dan amalan agama yang hebat, kehidupan sosial yang menyerlah, golongan usahawan dan cerdik pandai yang ramai dan sebagainya?

Ada yang mengatakan Kelantan hanya indah khabar dari rupa. Kerana realitinya negeri Cik Siti Wan Kembang ini masih bergelut dengan berbagai masalah asas dan pokok sehingga hari ini. Ianya masih mundur dan miskin jika di banding dengan negeri-negeri lain, khususnya negeri-negeri di pantai barat. Pembangunan negeri tidak jauh berbeza dari dulu sehingga sekarang.

Masalah Negeri Kelantan
Rencana ringkas ini cuba meyelusuri keadaan negeri Kelantan dan masalah yang dihadapi serta impak dan kesannya kepada kehidupan harian penduduk negeri Kelantan. Kita cuba lihat dan nilai dari beberapa sudut tertentu.

(1)Urus tadbir negeri

Oleh kerana negeri Kelantan telah berada di bawah pemerintahan Pas untuk sekian lamanya, maka sudah tentu kepimpinan negeri ikut dicorakkan oleh falsafah, pemikiran dan tafsiran parti Pas dalam hal-hal urus tadbir negeri. Pendekatan yang diambil dan penekanan yang diberi sering menjurus kepada hal-hal agama mengikut takrif dan tafsiran mereka. Pembangunan ruhaniah agama yang dikejar sementara kemajuan dan pembangunan fizikal tidak dikira sebagai matlamat ataupun prioriti utama.

(2)Kewangan negeri

Pendapatan dan sumber hasilan negeri Kelantan adalah kecil dan tidak mencukupi utuk membiayai perbelanjaan mengurus tadbir negeri dan operasi yang lain. Mengikut perangkaan kerajaan persekutuan tahun 2018, negeri Kelantan adalah penerima terbesar bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan dengan jumlah RM913 juta di mana RM363 adalah bantuan kewangan defisit untuk membayar gaji kakitangan kerajaan dan sebagainya dan RM550 juta sebagai pendahuluan untuk membantu masalah aliran tunai. Selain negeri Kelantan, hanya Perlis yang menerima bantuan defisit. Sehingga 30 Jun 2018, Kelantan masih berhutang sebanyak RM1.4 billion kepada kerajaan persekutuan dengan jumlah tunggakan sebanyak RM435 juta.

(3)Ekonomi

Dari sudut ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Kelantan menduduki tempat tercorot dalam pendapatan purata isi rumah bulanan pada 2016 dengan hanya RM4,214, jauh di bawah tahap nasional (RM6,958), apa lagi dengan negeri-negeri seperti Kuala Lumpur (RM11,692), Putrajaya (RM11,555) atau Selangor (RM9,463).

Ekonomi negeri masih berasaskan kepada aktiviti pertanian. Sektor pembuatan dan industri masih di tahap yang rendah. Oleh itu pendapatan negeri amat kecil dan pertumbuhan juga tidak memberansangkan. Mengkut kajian MIDF pada tahun 2016, kadar pengangguran anak muda di Kelantan adalah tertinggi di tahap 14% berbanding dengan purata negara di tahap 10%.

Keadaan infra asas negeri juga mengecewakan. Penyediaan jalan raya dan bekalan letrik belum lagi memenuhi kehendak rakyat jelata. Masalah air dan kebersihan masih tak terurus dengan baiknya, termasuk di bandar Kota Bharu. Meskipun Kota Bharu terkenal dengan imejnya sebagai sebuah bandar raya Islam yang sepatutnya menjadi contoh kepada bandar-bandar lain di Malaysia namun tahap kebersihannya didapati cukup mengecewakan.

Sehingga ianya mengundang teguran dari Pemangku Raja Kelantan baru-baru ini yang tidak berpuas hati dengan ketidakpekaan rakyat Kelantan tentang kebersihan..

Kekerapan berlakunya banjir besar juga ikut menjejaskan ekonomi negeri serta kehidupan rakyat. Ramai pakar alam sekitar mengatakan aktiviti pembalakan yang berleluasa dan tidak terkawal menjadi sebab utama kepada fenomena tersebut. Dan bila berbicara tentang pembalakan, ianya berkait pula dengan masalah tanah Orang Asli yang menjadi terpinggir dan terbuang ekoran aktiviti berkenaan.

(4)Politik  dan agama

Orang Kelantan memang obses dengan politik. Dan dengan agama sebagai sandarannya, maka kita tidak hairan tentang kewujudan ahli dan penyokong politik yang begitu fanatik dan tegar menyokong parti-parti pilihan mereka. Sebelum ini dan untuk sekian lamanya, kesatuan rakyat Kelantan berpecah di antara penyokong parti Pas atau Umno. Sehingga timbul isu kafir mengkafir, gejala dua imam dan perbalahan dalam keluarga termasuk perceraian di antara pasangan di kawasan-kawasan tertentu di Kelantan. Beberapa tahun kebelakangan ini rakyat Kelantan perpechan mengikut susur galur kepartian makin ketara dengan kewujudan parit-parti Keadilan, Amanah dan Bersatu dalam gagasan PH.

(5)Sosial

Data terbaru Kementerian Dalam Negeri mengenai statistik penagih dadah di seluruh negara pula menunjukkan bahawa Kelantan mempunyai bilangan penagih dadah Melayu tertinggi di Malaysia jika dibandingkan negeri-negeri lain dengan 3,652 orang, diikuti oleh Pulau Pinang dengan 2,521 orang, Kedah dengan 2,515 orang dan Terengganu dengan 2,033 orang.

Pada 2011 dulu, Pemegang Amanah Majlis AIDS Malaysia, Dr Illias Adam Yee, pernah mendedahkan bahawa jumlah penghidap HIV/AIDS di Kelantan pada 2010 adalah tertinggi di Malaysia jika dibandingkan negeri-negeri lain di mana 28.8 bagi setiap 100,000 penduduknya dijangkiti virus itu, dengan jumlah jangkitan baru pada 2010 adalah 462.

Mengikut laporan The Star 10.11.2015, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dato Dr Ahmad Razin menyebut bahawa terdapat 300,000 pesakit mental di negeri Kelantan akibat tekanan hidup termasuk dadah, kemurungan dan masalah keluarga.

Namun mengikut Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan indeks jenayah di Kelantan telah menunjukkan penurunan sebanyak 9% untuk tahun 2018 berbanding dengan tahun lalu.

Sementara itu stastistik tahun 2017 yang disediakan oleh JAKIM menunjukkan kadar perceraian di Kelantan(3,652 kes) adalah kedua tertingginya selepas Selangor(4,588 kes).

Kadar jenayah masih di tahap yang tinggi khususnya berhubung dengan kes-kes juvinal, curi kenderaan, pecah rumah dan sebagainya. Pun begitu, mengikut Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, indeks jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 9% untuk tahun 2018 berbanding dengan tahun lalu.

Artikel oleh wan harun wan hassan (Sinar Harian)

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Apakah Perbezaan Diantara Kabin Kelas Pertama Dan Kelas Perniagaan Didalam Pesawat ?