Kisah Kejayaan Anak Terengganu Yang mempunyai 4 Cabang Perniagaan


Bijak menyusun kata dan sentiasa merendah diri. Secara dalamannya, dia mempunyai semangat ingin berjaya yang tinggi malah itu antara kelebihan anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini untuk menyinar dalam bidang perniagaan.

Dilahirkan dalam keluarga yang sememangnya sebati dengan dunia perniagaan, anak bongsu daripada tujuh beradik ini berjaya membuktikan usia bukan penghalang untuk seseorang itu mengecapi kejayaan diimpikan.

Pemilik nama Syed Idham Syed Shafie, 30, kini mampu tersenyum kerana pada usianya itu, dia berjaya memiliki empat cabang perniagaan berbeza atas usaha kerasnya di samping sokongan keluarga tersayang.

Menceritakan pengalaman awal pembabitannya dalam dunia perniagaan, Syed Idham berkata, semangat dan minat mendalamnya sememangnya pada dunia perniagaan menyebabkan dia mula mencuba untuk menguruskan perniagaan sendiri seawal usianya baru menjangkau 14 tahun.

“Ketika itu saya masih bersekolah di tingkatan dua namun disebabkan terlalu ingin berniaga, saya tekad mengusahakan perniagaan menjual burger di warung kecil berhampiran kawasan rumah.

“Niat utama ketika itu bukanlah semata-mata mencari wang tapi mahu menimba pengalaman menguruskan perniagaan sendiri selain ingin merasai pahit manis berkecimpung dalam bidang itu,” katanya.



Menurut Syed Idham, semangatnya itu berkemungkinan besar didorong kedua-dua ibu bapanya yang turut terbabit dalam pelbagai cabang perniagaan.

“Arwah ayah ialah Bumiputera pertama yang berjaya membuka pasar raya di Dungun, Terengganu. Semangatnya yang tidak pernah kenal erti penat dan putus asa antara pendorong utama saya untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

“Dalam erti kata lain, kami tujuh beradik sememangnya sudah sebati dalam bidang perniagaan dan disebabkan itu juga kini kami semua menjalankan perniagaan dalam pelbagai cabang berbeza,” ujarnya.



Syed Idham yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, dia kini mengusahakan sebuah restoran, Restoran Selera Bonda Ampang serta tiga syarikat lain iaitu syarikat teknologi maklumat, pembekal tenaga kerja warga asing dan tempatan serta kontraktor pembinaan.

Perlu bijak bahagi masa

Menguruskan empat cabang perniagaan berbeza memerlukan Syed Idham membahagikan masanya sebaik mungkin bagi memastikan semua urusan perniagaan berjalan lancar.



Menurutnya, bukan mudah untuk memastikan setiap urusan perniagaannya berjalan dengan baik kerana ia bukan saja memerlukan komitmen tinggi malah disiplin diri yang teratur.

“Saya keluar pagi untuk ke pejabat di Ampang sebelum keluar sebentar kira-kira jam 10 pagi untuk ke restoran.

“Saya perlu ke restoran setiap hari kerana saya sendiri yang menyediakan hidangan kuah gulai untuk menu nasi ala Kak Wok yang dijual di restoran saya kerana resipinya hasil idea saya dan ibu tercinta,” katanya.



Syed Idham berkata, walaupun bergelar usahawan berjaya, dia tidak kekok untuk turun ke dapur bagi memasak hidangan kuah gulai itu kerana itu antara kepuasan serta tanggunggjawabnya.

“Saya mahu keenakan rasa itu tetap sama dengan resipi saya dan ibu, disebabkan itu sehingga kini saya masih ke dapur untuk memasak hidangan itu walaupun mempunyai lebih 30 kakitangan di restoran.

“Tidak ada istilah malu memasak sendiri hidangan di restoran kerana pada masa sama berusaha menunjukkan contoh kepada kakitangan untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada pelanggan terutama dari segi keenakan rasa serta layanan,” ujarnya.

Menurut Syed Idham, selesai menyediakan hidangan gulai, dia pulang semula ke pejabatnya sehinggalah petang sebelum kembali semula ke restoran pada waktu malam.

“Bukan tidak mempercayai kakitangan, tetapi saya perlu ada di pejabat dan restoran bagi memastikan segalanya berjalan lancar malah ia turut memberi kepuasan kepada saya apabila melihat sendiri usaha yang dilakukan berjalan dengan baik.

“Semua ini amat penting dan sentiasa memastikan saya sentiasa menjaga soal pembahagian masa selain disiplin untuk kejayaan diri sendiri,” katanya.

Sedia modal sendiri

Sudah lebih enam tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan berasaskan makanan, Syed Idham kini berpuas hati apabila Restoran Resipi Bonda yang beroperasi setiap hari di Jalan Dagang B/3A, Dagang Avenue, Ampang, Selangor sejak enam tahun lalu semakin mendapat sambutan.


“Kini saya mempunyai lebih 150 menu termasuk masakan Melayu, Thailand, Barat dan Indonesia serta merancang untuk menambah hidangan bagi memenuhi selera pelanggan.

“Saya menyediakan hidangan yang terkenal di setiap negeri antaranya nasi ala Kak Wok yang terkenal di pantai timur, char kuetiau yang terkenal di Pulau Pinang, mi bandung dari Johor dan nasi ayam penyet dari Indonesia,” ujarnya.

Syed Idham berkata, selain hidangan itu, restorannya turut terkenal dengan menu tomyam ‘seafood meletop’, asam pedas ikan pari, sup tulang, sotong telur masin dan ikan siakap tiga rasa selain pelbagai menu lazat lain.

“Dalam perniagaan restoran ini, saya sentiasa memastikan setiap kakitangan menjaga kehendak dan layanan baik kepada pelanggan terutama dari segi hidangan yang disiapkan segera dan keenakan rasanya.



“Itu antara elemen terpenting untuk memastikan restoran saya terus menjadi pilihan terutama apabila kebanyakan pelanggan datang berkeluarga,” katanya.

Kata Syed Idham, dia juga merancang menambah satu lagi cawangan restorannya di kawasan berhampiran dalam tempoh terdekat.

“Ramai yang mempersoalkan mengapa saya hanya mempunyai satu cawangan restoran sedangkan mendapat sambutan menggalakkan. Jawapannya, saya tidak mahu dan tidak pernah membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

“Dalam semua cabang perniagaan, saya menggunakan wang simpanan sendiri selain bantuan daripada adik-beradik jadi saya tidak semudah-mudahnya membuka cawangan lain dengan pantas,” ujarnya.


Namun dia kini semakin yakin untuk menambah cawangan restorannya selepas menerima sambutan memberangsangkan.

Syed Idham berkata, restoran berkenaan juga hasil gabungan idea serta semangat ibu tersayang yang sehingga kini menjadi penasihat utama dalam perniagaannya.

“Susah senang saya dikongsi bersama ibu dan ibu juga yang selalu berkongsi idea dan resipi masakan untuk restoran.

“Saya juga amat mengharapkan perniagaan ini berterusan dan semakin berkembang maju hari demi hari,” katanya.

Pendorong utama

Dia mengakui, ahli keluarga tersayang terutama ibu, isteri dan adik-beradik menjadi sumber kekuatannya dalam menempuh liku kehidupan bergelar usahawan.


“Saya bersyukur kerana memiliki seorang ibu yang boleh berkongsi segalanya dengan saya terutama berkaitan ilmu perniagaan termasuk masakan, juga isteri yang amat memahami dan sentiasa memberi sokongan dalam mengendalikan perniagaan.

“Isteri saya menguruskan soal kewangan syarikat kerana dia graduan dalam jurusan akaun malah dia sentiasa berada di sisi saya tidak kira di saat suka mahupun duka,” katanya.

Syed Idham yang juga bapa kepada seorang cahaya mata berkata, hubungannya bersama adik-beradik juga amat rapat dan sering melakukan perbincangan mengenai perniagaan masing-masing.

“Kami akan mencari satu masa sesuai dan berkumpul sekurang-kurangnya sekali minggu bagi merapatkan hubungan adik-beradik selain berkongsi masalah berkaitan perniagaan.

“Ini cara terbaik untuk saya mengumpul kekuatan bagi memastikan saya terus bersemangat dan tidak mudah putus asa dalam menguruskan semua perniagaan saya,” ujarnya.

Syed Idham juga berharap mampu mengendalikan semua perniagaannya dengan baik selain berhasrat menambah cabang perniagaan.



“Saya sentiasa berpegang kepada sembilan daripada 10 pintu rezeki itu datangnya daripada perniagaan dan pada masa sama saya berhasrat mempunyai sembilan cabang perniagaan berlainan.

“Kini saya sudah mempunyai empat jenis perniagaan dan berharap impian untuk berjaya dengan cemerlang selain menambah cabang perniagaan dapat direalisasikan suatu masa nanti,” katanya.

Sumber harian metro

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu