Jeans Buatan Anak Besut Dikenali Seluruh Dunia




Jeans Buatan Anak Besut Dikenali Seluruh Dunia


Siapa sangka gunting yang menyebabkan mata Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin, 30, menjadi buta 25 tahun lalu tetapi gunting itu jugalah menyebabkan beliau dikenali di seluruh dunia dengan penghasilan seluar jeans.

Menurut anak muda dari Kampung Simpang Tiga, Jertih itu, mata kanannya buta selepas tertusuk gunting ketika bermain semasa umurnya lima tahun.




“Hujung gunting tertusuk mata kanan menyebabkan saya hanya dapat melihat dengan mata kiri walaupun pada zahirnya mata kanan saya nampak normal,” katanya ketika ditemui di kedai jahitnya di bandar Jertih di sini.

Katanya, dia tidak menyangka gunting itu juga menyebabkan dia dikenali peminat seluar jeans bukan sahaja dalam malah luar negara.

Miliki jenama sendiri

Menurutnya, dia bersama abang, Ahmad Syukri Kamarudin, 36, dan rakannya Muhamad Aidil Akhyar, 33, menawarkan perkhidmatan membuat seluar jeans dengan jenama sendiri dikenali Raw Denim House (RDH) bermula hampir lapan tahun lalu.

Tambahnya, minat yang mendalam terhadap dunia perbuatan pakaian berasaskan kain denim mendorong mereka bertiga mengumpul modal untuk membeli mesin jahit dan kain yang ditempah khas.

“Saya mula membuat seluar jeans dengan reka bentuk dan jenama sendiri menggunakan tangan dan mesin jahit klasik bermula dari rumah sebelum menyewa sebuah premis kecil di Jertih Souq,” katanya.




Ahmad Safuan berkata, syarikatnya menghasilkan jeans buatan tangan atau lebih dikenali sebagai bespoke jeans.

Menurutnya, walaupun tidak seorang pun daripada mereka mempunyai latar belakang dalam bidang rekaan fesyen tetapi hasil tangan mereka sangat halus dan berkualiti.

Ahmad Safuan merupakan lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknikal Tinggi Terengganu manakala abangnya, Ahmad Syukri graduan Kejuruteraan Pembuatan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sementara Muhamad Aidil pula bekas penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik.

Guna mesin vintaj buatan AS

Ahmad Safuan bercerita, cabaran utama memulakan perniagaan tersebut ialah mereka perlu mendapatkan mesin vintaj buatan Amerika Syarikat (AS) kerana mesin jahit yang diperlukan untuk pembuatan jeans yang tidak terdapat di Malaysia.

“Kami bertatih dari kecil-kecilan dan tempahan pakaian lebih kepada melalui dalam talian,” katanya.

Ujarnya, dia mendapat bekalan kain denim berkualiti daripada pembekal luar negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat selain China.




Menurutnya, antara cabaran di peringkat awal ialah untuk mendapatkan mesin jahit klasik termasuk terpaksa ke Thailand.

“Sekarang kami mempunyai 25 unit mesin jahit dan kesemua klasik bagi memastikan RDH mengekalkan ciri-ciri tradisi pembuatan jenama jeans asli.

“Jahitan berantai dapat dihasilkan daripada mesin jahit lama berusia lebih 60 tahun,” katanya yang berkebolehan membaik pulih mesin jahit di premisnya kerana sukar mencari pakar yang dapat membaiki model tersebut.

Koleksi ikut tempahan

Mereka yang berpegang kepada moto Custom is the future Retails, koleksi rekaan mereka dikeluarkan mengikut tempahan yang dihadkan kepada 30 sehingga 50 helai sebulan.

Produk pakaian popular dihasilkan di RDH ialah Ranch Wear, Cargo Pant Classic 5 Pockets, Bush Pants dan Double Knee Jeans, dengan variasi lebih 10 rekaan termasuk jaket diinspirasikan daripada gaya tahun 1950-an.




Manakala harga jualan sehelai jeans RDH ialah RM250 hingga RM350 untuk denim biasa dan bagi produk premium dipasarkan pada harga RM450 dan ke atas.

“Tempahan memang banyak tetapi kami tidak mampu menerima semua tempahan yang diterima bukan sahaja dalam negara tetapi pelanggan dari Jerman, Amerika Syarikat, Australia, Switzerland dan banyak negara lagi,” katanya yang berpindah ke premis baharu yang lebih luas di sini.

Ikon Usahawan SSM 2019

Ahmad Safuan berkata, RDH kini mempunyai empat pekerja tambahan bertujuan melancarkan operasi syarikat memandangkan sambutan tinggi.

Lebih membanggakan RDH kerana Ahmad Safuan dinobatkan naib juara pertandingan Projek Inspirasiku dengan membawa pulang hadiah RM5,000 sekali gus dilantik Ikon Usahawan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2019 pada akhir tahun lepas.

Sumber Sinar Harian


Ulasan

Catat Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu