Jangan Paksa PNB Jual Aset

By A Jasin Kadir from his blog

 Gambar dari internet

PATUTKAH Permodalan Nasional Berhad (PNB) digesa atau dipaksa menjual pelaburan bukan terasnya kepada usahawan Bumiputera?
Pada 9 Feb lalu, Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, menggesa PNB dan Khazanah Nasional Berhad menjual pelaburan bukan teras (non-core) mereka kepada usahawan Bumiputera.
Media massa berkata Perdana Menteri menggesa, tetapi Mohd Najib, dalam ucapan yang sama, menyatakan yang Khazanah dan PNB, masing-masing, telah mengenal pasti lima buah syarikat untuk dijual.
Jadi bukanlah gesaan lagi, tetapi sudah menjadi satu tindakan.
Dalam kolum “Other Thots” majalah Malaysian Business, keluaran 16-29 Feb, saya, antara lain, mengulas: “...tetapi saya ingin menggesa agar kita berhati-hati mendesak atau memaksa PNB menjual pelaburan yang dianggap bukan teras. Lagipun, sama ada sesuatu pelaburan itu teras atau bukan teras adalah terkaan.
“Pelaburan teras pun boleh diklasifikasikan sebagai bukan teras kalau berlaku tekanan dari atas atau apabila ada pemain pasaran saham yang tidak berprinsip mengemukakan skim cepat kaya yang meyakinkan.”
Pada 14 Feb pula, The Star Online melaporkan yang PNB mungkin menjual syarikat kawalannya seperti MNRB Holdings Berhad, Bonia Corporation Barhad dan Asia File Corporation Berhad.
Jual-beli aset adalah perkara biasa bagi mana-mana perniagaan pun. Selain pelaburan tetap dan jangka panjang, PNB menjual-beli aset secara harian di Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada operasi tabung-tabung amanah sahamnya.
Tetapi, menjual terus sebuah syarikat yang dikawalnya adalah satu tindakan yang tidak harus dilakukan sewenang-wenangnya atas apa juga alasan.
Adalah tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip pembahagian kekayaan yang adil jika PNB menjual pelaburannya kepada individu atau syarikat Bumiputera dengan membelakangkan kepentingan jutaan Bumiputera yang menjadi pemenang saham amanahnya.
Tugas memindahkan kekayaan korporat kepada usahawan Bumiputera lebih elok dilakukan oleh Khazanah Nasional, bukan oleh PNB yang sudah pun berkongsi kekayaan korporat dengan Bumiputera.
Lagipun, banyak syarikat yang sekarang ini dimiliki Khazanah Nasional pada suatu masa dulu dimiliki oleh Bumiputera, tetapi telah diambil balik oleh kerajaan secara tergesa-gesa apabila berlaku Krisis Kewangan Asia 1997/98.
Sebaliknya, PNB wajar melancarkan fasa kedua pelaburan dengan membeli saham syarikat-syarikat bukan Bumiputera (dan Bumiputera kalau ada) bagi menambah dan memperkukuhkan portfolio pelaburannya.
Dengan semakin banyaknya syarikat dan konglomerat Malaysia menjadi bertambah besar dan menguntungkan, pemilikan saham minoriti oleh PNB masih boleh memberi kesan besar kepada pemilikan aset korporat oleh Bumiputera.
Malah pembelian saham syarikat-syarikat bukan Bumiputera yang patuh syariah oleh PNB menjadi lebih wajar dan mendesak kerana sejak era (Tun) Abdullah Ahmad Badawi, PNB telah mula membuka sesetengah tabung saham amanahnya kepada bukan Bumiputera.
Kesimpulannya, PNB tidak harus digesa atau dipaksa menjual pelaburannya kepada usahawan Bumiputera, apatahlah lagi kepada bukan Bumiputera. PNB wajib mengutamakan jutaan pelabur Bumiputera dalam skim saham amanahnya daripada beberapa kerat kapitalis Bumiputera.
PNB wajib berterus terang degan Bumiputera, khasnya mereka yang melabur dalam saham-saham amanahnya, sama ada ia sedang dipaksa atau ia melakukannya secara suka rela.
Kita tidak mahu episod “penggabungan” Sime Darby, Golden Hope dan Guthrie berulang lagi. Apatah lagi kalau aset Bumiputera biasa dan totok hendak dijual kepada individu Bumiputera.

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Apakah Perbezaan Diantara Kabin Kelas Pertama Dan Kelas Perniagaan Didalam Pesawat ?

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan