Projek ECRL jajaran semula Kota Bharu - Dungun diluluskan


Kerajaan Persekutuan memberi kelulusan bagi Skim Keretapi untuk Seksyen A projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Langkah itu memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan di penjajaran semula sepanjang 210.4 kilometer (km) dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu yang akan bermula tidak lama lagi.



Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek dan aset ECRL, berkata pihaknya telah menerima surat daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 14 Mei, 2020, yang menyatakan cadangan penjajaran semula terhadap Skim Keretapi untuk Seksyen A projek ECRL telah diluluskan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong baru-baru ini.

Kelulusan itu termasuklah, antaranya, laluan penjajaran akhir, lokasi stesen penumpang/kargo, dan jumlah lot di bawah pengambilalihan tanah untuk laluan Kota Bharu-Dungun, katanya.

Selain itu, jajaran sisihan sepanjang 14.4 km dijangka menghubungkan laluan utama ECRL di Kelantan dengan pelabuhan Tok Bali.




Pengerusi MRL Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata kelulusan daripada kerajaan itu akan memberi prospek yang baik dengan jangka masa projek ini untuk memastikan kerja tanah dan kerja-kerja persediaan untuk laluan Kota-Bharu-Dungun akan bermula pada pertengahan 2020.

Beliau berkata laporan Penilaian Impak Warisan (HIA) ECRL untuk Seksyen A dan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk seksyen tersebut, turut mendapat kelulusan baru-baru ini, manakala laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) Seksyen A menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.



Projek ECRL sepanjang 640 km itu terbahagi kepada tiga seksyen, iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab), dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).

Infrastruktur kereta api itu akan melalui negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Negeri Sembilan, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Ismail berkata kadar siap projek ECRL secara keseluruhan pada masa ini sebanyak 16 peratus, menyatakan kerja-kerja pembinaan tertentu seperti membabitkan terowong dan jejambat telah disambung semula di Seksyen B dalam tempoh beberapa minggu.



Pada pertengahan April lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah meluluskan permohonan daripada kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd, untuk beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL akan mengurangkan masa perjalanan dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Putrajaya kira-kira empat jam.

Sumber Bernama

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan