Budak Perempuan Kelantan Ini Matang Sebelum Usia & Memerlukan Sumbangan Dari Warga Kelantan Prihatin

USIA baru 12 tahun tapi sudah pun menggalas tanggungjawab besar apabila terpaksa memasak, membasuh dan mengemaskan rumah setiap hari.

Nor Atikah Maisarah memikul amanah itu bagi menggantikan tanggungjawab seorang ibu dengan melakukan tugas berkenaan untuk bapa, Mohd Saidi Mohd Nor, 51 dan adik perempuannya, Nor Atikah Waheeda, 10.


Dia yang ditinggalkan ibu kandung sejak berusia enam tahun, sudah biasa dengan kerja rumah seawal usia lapan tahun lagi, malah tanggungjawabnya semakin bertambah selepas bapanya terbabit kemalangan jalan raya pada Februari lalu.

Sepanjang Ramadan, Nor Atikah yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Mentuan di Kota Bharu bangkit seawal 3 pagi setiap hari untuk menyediakan juadah sahur untuk mereka bertiga.

Nor Atikah berkata, biasanya dia akan memasak beberapa jenis lauk iaitu ayam masak kicap, masak pedas, ikan singgang atau telur goreng, namun adakalanya hanya bangun panaskan lauk yang dibeli pada waktu siang.

“Kalau ayah ada duit, saya dan adik akan berjalan kaki ke pasar berhampiran untuk membeli ayam dan barang mentah untuk memasak tapi kerap juga kami hanya makan berlaukkan telur dan berkuahkan budu.

“Ketika ayah masih boleh bergerak cergas dulu, saya hanya membantu ayah memasak, namun sejak ayah sudah uzur dan tidak mampu sangat untuk berjalan, saya yang mengambil alih sepenuhnya tugas itu dengan dibantu adik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gertak Kechupu, Binjai di sini.

Kesusahan hidup tiga beranak itu semakin dirasai selepas Mohd Saidi terbabit dalam kemalangan sehingga mengakibatkan tangan kanannya mengalami gangguan saraf manakala kedua-dua matanya menjadi kabur.

Dalam kejadian itu, dia baru pulang mengambil dua beradik itu dari sekolah apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas.

Sebelum ini, Mohd Saidi bekerja sebagai tukang rumah dengan upah sekitar RM700 sebulan, namun kini mereka hanya bergantung kepada belas ihsan sanak saudara dan sumbangan orang kampung yang datang menziarah.

Malah pada hari biasa, Nor Atikah Maisarah dan adiknya tidak membawa wang saku ke sekolah dan hanya mengalas perut dengan sarapan pagi menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sahaja.

Nor Atikah Maisarah berkata, untuk persiapan Aidilfitri yang bakal tiba, dia dan adiknya mendapat sumbangan dari guru sekolah mereka yang memberi baju raya.

“Cuma tudung dan kasut raya sahaja yang belum dibeli. Kalau boleh nak yang warna biru dan adik pula katanya nak kasut warna merah,” katanya.

Keluarga mereka dikunjungi Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) melalui wakilnya, Hazira Ahmad Zaidi yang tampil menyumbangkan wang zakat menerusi program Kita Kongsi.

Selain itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Grand Riverview (GRV), Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud yang turut menyerahkan sumbangan makanan serta lauk yang sudah dimasak pihak hotel untuk keluarga itu berbuka puasa dan bersahur.

Kepada sesiapa yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini boleh menyalurkan ke akaun Bank Rakyat milik Nor Atikah Waheeda Mohd Saidi iaitu 22-105-134880-6.

Sumber Harian Metro Online

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Apakah Perbezaan Diantara Kabin Kelas Pertama Dan Kelas Perniagaan Didalam Pesawat ?