Kelantan, Terengganu tak berhak tuntut royalti

“PAS tidak berhak untuk menuntut royalti,” Itu kata Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail. Jadi ramai tertanya-tanya apakah PAS memang tidak berhak. Jadi tulisan kali ini untuk memberikan pemahaman jelas mengenai hak royalti.


Ketika perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 31 Januari 1948 di antara wakil-wakil pemerintah Negeri-Negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, telah dipersetujui bidang kuasa negeri ditetapkan dalam lingkungan tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri. Seksyen 4 Ordinan Darurat 1969 turut mendefinisikan kawasan jajahan negeri sebagai hanya tiga batu nautika dari pesisiran pantai, tertakluk kepada beberapa pengecualian termasuklah negeri-negeri baru Sabah dan Sarawak.

Kemudian pada tahun 1973, ketika krisis minyak dunia, Malaysia menubuhkan Petronas dan memperkenalkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA). Dalam Seksyen 2 PDA 1974, Petronas diberikan mandat “pemilikan penuh ke atas petroleum yang terdapat di darat dan pesisir pantai Malaysia”, termasuklah hak eksklusif, kuasa, kebebasan dan keistimewaan dalam meneroka, memanipulasi, memenangi dan memperolehi kawasan-kawasan ini. Manakala Seksyen 4 PDA 1974, Petronas hendaklah membuat pembayaran kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri pemunya asset itu.

Bersama PDA 1974 ialah 13 perjanjian lagi yang dikenali sebagai Assignments Deeds dan Vesting Grants. Kedua-duanya ditandatangani secara berasingan di antara 13 kerajaan negeri dan kerajaan pusat sekitar tahun 1975 dan 1976. Kesemuanya memberikan hak kepada Petronas untuk ‘petroleum yang berada di darat atau pesisir pantai Malaysia’, dengan pulangan wang tunai secara tahunan bersamaan dengan nilai 5% petroleum yang dikeluarkan.

Petroleum ditemui di pesisiran pantai Terengganu pada tahun 1973. Sejak itu, Terengganu telah menerima royalti berjumlah RM7.13 bilion menerusi PDA. Namun pada tahun 2000 ketika PAS memerintah Terengganu, wang royalti kepada Kerajaan Negeri dihentikan. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir menghentikan pembayaran royalti., dan menggantikan dengan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP). Perkara ini diakui beliau di dalam buku biografinya “The Doctor In The House”. Beliau menulis “Terengganu was and is the biggest producer of oil in Malaysia and 5% of that revenue, worth almost RM1 billion a year, went to the state government. We knew that if the new PAS state government were to gain access to the money, they would likely use it to enhance their popularity and promote their cause”. Bermaksud “Terengganu merupakan pengeluar terbesar minyak di Malaysia dan 5% dari pendapatan itu, bernilai hampir RM 1 billion setahun, diperolehi Kerajaan Negeri. Kita yakin sekiranya Kerajaan Negeri baru dibawah PAS memperolehi dana itu, mereka akan menggunakanya untuk menaikkan popularity mereka dan mempromosikan perjuangan mereka.” Alasan yang diberikan Kerajaan Persekutuan adalah Kerajaan Negeri tidak berhak mendapat royalti disebabkan telaga minyak berada diluar 3 batu nautika daripada persisir pantai Terengganu. Berikutan itu, Kerajaan Negeri PAS Terengganu telah memfailkan saman keatas Petronas dan Kerajaan Persekutuan dimahkamah, namun ia ditarik balik oleh Kerajaan Negeri Terengganu selepas Barisan Nasional memenangi Negeri Terengganu pada PRU 12.

Petroleum hanya ditemui di Kelantan pada tahun 90-an ketika PAS sudahpun memerintah Kelantan. PDA dan Vesting Grant serta Assignment Deed tidak pernah dipersoalkan sebelum itu. Bagi pengeluaran minyak dan gas dari kawasan ini, yang dikenali dengan nama blok PM2, PM301, Perjanjian Perkongsian Pembangunan Malaysia-Thailand (MTJDA) dan PM3 CAA Malaysia-Vietnam, kerajaan pusat telah menerima bahagian royaltinya sebanyak 5 peratus, berjumlah RM4.59 bilion. Secara teorinya, jumlah yang sama juga wajar diterima oleh Kelantan (juga lima peratus peruntukan royalti). Malangnya, tidak sesen pun yang diterima oleh negeri terbabit. Lebih teruk lagi, Kelantan tidak langsung merasai limpahan manfaat daripada pembangunan ekonomi dalam bentuk aktiviti, tapak pengeluaran, pemprosesan dan pengangkutan hasil gas dan minyak. Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah yang sama untuk menafikan royalti kepada Kelantan iaitu, minyak ditemui di luar jajahan Kelantan. Pada Ogos 2010, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil tindakan mahkamah ke atas Petronas di atas kegagalan syarikat terbabit membayar royalti kepada kerajaan negeri. Kerajaan Pusat bertindak balas dengan membentuk panel khas penyiasatan yang masih belum mengeluarkan keputusannya.

Walaupun kedua-dua kes ini mempunyai alasan teknikal perundangan, namun apa yang jelas tekanan politik kepada negeri yang diperintah PAS mengatasi segalanya. Jelas Perlembagaan Persekutuan hanya mendefinisikan sempadan maritim. Manakala dokumen lain seperti PDA 1974 dan perjanjian Petronas – Kerajaan Negeri merupakan rujukan bagi menafsirkan hak pemilikan asset petroleum. Persoalan mudah, sekiranya takrif 3 batu nautika dalam Perlembagaan Persekutuan digunapakai, maka kenapa perlu ada perjanjian lain ditandatangani? Malah Pahang yang baru menemui minyak di Kawasan Bertam PM307 dijanjikan royalti walaupun jaraknya 86.3 batu nautika.

Pakatan Harapan di dalam janji pilihan raya, menjanjikan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan diberi royalti yang sewajarnya. Kezaliman Umno dan Barisan Nasional yang memberi dana berdasarkan perkiraan politik akan dihentikan. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil. Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri. Apakah mereka akan menunaikan janji mereka menjadi tanda tanya. Sudah tentu rakyat di negeri Kelantan dan Terengganu memerhatikan perkembangan ini.

Artikel oleh Nurul Islam Mohamed Yusoff
Pengarah Pilihan raya DPPM
25 Mei 2018 Harakah Daily 

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Apakah Perbezaan Diantara Kabin Kelas Pertama Dan Kelas Perniagaan Didalam Pesawat ?