Kisah Geng Gi Mekoh Nga Mutor Dari Kelantan Yang Viral 1 Malaysia !!




Kisah Geng Gi Mekoh Nga Mutor Dari Kelantan Yang Viral 1 Malaysia !!


Tular berkenaan 3 orang lelaki dari Kelantan merancang ke Tanah Suci Mekah dengan cuma menunggang motosikal kapcai. Berita ini bukan hanya meniti di bibir-bibir orang kita sahaja, bahkan turut mendapat perhatian dada-dada akhbar negara jiran. Sangat mencuri tumpuan.

Perjalanan mereka bermula 3 November 2018 dari Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Setelah dirasmikan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Kelantan, mereka bertolak ke Thailand diiringi konvoi rakan bikers sejauh 600 kilometer.




Dengan hanya menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, mereka merentasi 6 buah negara seperti Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Arab Saudi. Kira-kira 8 buah negara semuanya dengan jarak sejauh 14,000 kilometer lebih. Bayangkan betapa jauh perjalanan mereka. Mereka membuat jangkaan memakan masa selama 60 hari.


Namun rintangan sentiasa ada walaupun rancangan sudah diperkemas. Bak kata pak imam ketika kuliah maghrib, “Kita merancang, Allah juga merancang. Dan semestinya perancangan Tuhanlah yang terbaik.” Ada sesetengah kawasan yang mereka lalui tersangatlah teruk sehingga mengganggu perjalanan.

“Bayangkan jalan raya sepanjang 40 kilometer, kami terpaksa redah selama 8 jam. Fuh!” ujar salah seorang daripada mereka ketika kami makan bersama.




Mereka juga tersadai di sempadan Dubai selama 2 minggu bagi menunggu keputusan visa untuk membolehkan menunggang masuk ke Arab Saudi. Kalau tidak memang kena patah balik ke Malaysia dan masuk melalui kapal terbanglah jawabnya. Begitulah yang dilalui oleh kebanyakan konvoi sebelum ini.

Akhirnya pada hari ke-80, mereka berjaya sampai ke Bumi Madinah. Terus ke Masjid Quba untuk tunaikan solat dan makan untuk menghilangkan rasa lapar. Selesai saja, mereka langsung ke Masjid Nabawi. Seterusnya check-in di hotel yang berdekatan untuk merehatkan diri.


“Macam mana abang boleh terfikir nak datang ke mari dengan motosikal?” soal saya.

“Asalnya kami duk main ajak-ajak ayam sahaja. Lama-kelamaan semua pakat bersungguh-sungguh nak buat. Jadi kita rancanglah, setahun juga ambil masa. Kita memang dah main motor di Kelantan. Terdetik dalam hati nak datang ke Mekah ini dengan apa yang kita minat, hobi kita,” jawab Abe Li sambil meneguk teh adunan orang Yaman.




Mereka ada cerita betapa banyaknya cabaran dan dugaan sepanjang 80 hari perjalanan. Motor rosak, terbalik, eksiden. Kena redah ribut pasir di padang sahara. Sampaikan pernah sekali mereka terpaksa tidur dalam balai polis ketika di Pakistan.


“Namun syukur, Allah tolong kami. Saat tengah susah, ada masyarakat sekitar yang datang hulurkan bantuan. Hulurkan lampu spotlight masa nak baiki motosikal di malam hari. Ada yang jemput ke rumah untuk tidur rehatkan badan. Ada yang hulurkan air dan makanan untuk dimakan. Padahal berlainan agama, bahasa pertuturan dan budaya,” sambung Abe Mat di hujung meja sana.

“Pernah sekali masa dah masuk Arab Saudi, motosikal kami rosak di tepi jalan. Tengah nak baiki, terdetiklah dalam hati yang hari ini tidak makan apa lagi. Minum kopi Radix sahaja awal pagi.




Tiba-tiba datang sebuah kereta parkir sebelah kami. Keluar seorang Arab bersama karpet. Dihamparnya di tanah, disusunnya beberapa bantal dan meja. Dikeluarkannya seteko teh dan kopi Arab bersama kurma. Lalu pak Arab itu ajak kami makan sekali. Allahu Akbar, betul-betul Tuhan dengar rintihan kita…”

Belum sempat Abe Li habiskan ceritanya, Abe Lani segera menyampuk dengan mimik muka, “Rupanya pak Arab itu bergaduh dengan bini. Hihihi.”Kami semua ketawa. Syukurlah Tuhan mudahkan semuanya.


Abe Li menceritakan antara pengalaman menarik ketika di India, mereka baru sahaja sampai di stesen minyak usang di sebuah kampung. Masa parkir motosikal tidak ada orang namun tiba-tiba ramai rakyat mereka keluar dari kedai-kedai di sekitar, berlari menyerbu ke arah mereka bertiga.

Punyalah takut ingatkan ada rusuhan atau nak dipukulnya mereka bertiga, rupa-rupanya mereka teruja dengan kedatangan orang asing. Nasib baik tidak lari, kalau tidak memang tidak cukup tanah jawabnya. Sampaikan masa kita tengah jalan pun, mereka masih lagi duk kejar dari belakang.




“Penat tak?” tanya saya spontan. Masih tak dapat nak bayangkan 80 hari perjalanan. Kita yang naik kapal terbang 8 jam sahaja pun sudah sakit-sakit badan.

“Penat memang penat, cuma kita seronok buat. Dalam kepala nak sampai ke Mekah sahaja. Masa tengok papan tanda Madinah lagi 600 kilometer, lagilah kami bersemangat nak pulas minyak. Lagipun kita tidak bawa laju, dalam 90 sahaja. Malam hari kita tidur, rehat kena cukup. Siang sajalah kami pulun,” balas Abe Li ringkas.

Sudahlah perjalanan ambil masa 80 hari. Umur mereka bertiga juga membuatkan saya termenung sejenak. Abe Li umurnya 40 tahun. Abe Mat, 60 dan Abe Lani 64. Yang Abe Li itu saya fikir boleh lagi dengan kudrat orang mudanya namun Abe Mat dan Abe Lani itu umurnya sudah mencecah 60 tapi masih gagah perkasa lagi untuk melakukan perkara itu.


Namun walaupun merentas 7 buah negara, makanan yang paling sedap apabila ditanya adalah, nasi putih lauk ikan cicah budu. Masak sendiri dekat bilik, makan dekat bilik. Mereka memang bawa bekal tumis dan alat masak lain. Periuk nasi elektrik pun ada, disangkut di atas motor.

Pada hari ke-83 perjalanan, barulah mereka bertolak ke Mekah dengan menaiki teksi. Ramai yang ternanti-nanti macam mana rupa mereka menunggang dengan memakai ihram. Mesti jadi sangat “rare” nanti.

“Haa ikutkan hati, nak ke Mekah naik motosikal kerana hanya 400 kilometer sahaja lagi untuk sampai ke sana. Kami masih larat namun memikiran ihram, nanti tercabut susah jadinya, ” kata Abe Li setelah selesai membuat urusan pos motosikal ke Jeddah melalui lori.


Cekal betul mereka ini. Hampir 3 bulan lamanya merentas negara berbeza untuk sampai ke Mekah. Mungkin orang kata, “alah naik kapal terbang sajalah mudah”. Namun sebenarnya, Tuhan dah aturkan cantik perjalanan ini. Dan mereka telah membawa kelainan yang tersendiri.

“Habis tu nanti balik Malaysia naik motosikal juga ke?” tanya saya sebelum kami meninggalkan kedai.




“Eh tak dah. Balik dengan kapal terbanglah, nanti nak sampai rumah makan masa 80 hari lagi. Sebab itu page kami namanya GI MEKOH NGA MUTOR sahaja bukannya “Gi Balik Mekoh Nga Mutor”. Haha,” balas Abe Li sambil ketawa.

Teringat kata-kata Abe Lani yang akan saya pegang, “Pengalaman ini kita kena cari. Bukan ianya datang dengan sendiri.”

Artikel asal adalah dari facebook najmi farisham

Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Apakah Perbezaan Diantara Kabin Kelas Pertama Dan Kelas Perniagaan Didalam Pesawat ?