Syukur 'The Kampung Boy' Dari Terengganu Semakin Popular !! Kini Berlakon Telemovie Lah Pulak


Peminat ‘The Kampung Boy’, Mohd Syukur Khamis, 14, berpeluang menonton telefilem raya sulung lakonan remaja itu pada Aidilfitri tidak lama lagi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin yang juga terkenal dengan julukan ‘Mowgli Malaysia’ itu memegang watak utama dalam telefilem bertajuk Raya Di Hujung Tanduk sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.




Dia digandingkan dengan beberapa pelakon lain, termasuk Delimawati Ismail, yang terkenal dengan watak Hantu Kak Limah menerusi Filem Hantu Kak Limah dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.


Mohd Syukur berkata, dia sangat seronok menjalani penggambaran telefilem itu yang memberi pengalaman baharu kepadanya.

“Walaupun hanya dua hari penggambaran dijalankan, namun ia sangat meletihkan kerana saya tidak biasa dengan proses itu.

“Paling mencabar ketika proses menghafal dialog, selain perlu menghayati watak yang sentiasa bermain dengan emosi.

“Telefilem raya itu berkisarkan kasih sayang saya terhadap kerbau yang dipelihara dan mempunyai banyak adegan yang membabitkan perasaan dan emosi," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.





Mohd Syukur berkata, pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang proses penggambaran itu adalah ketika diminta melakonkan adegan marah.

“Saya mengeluarkan dialog marah, tetapi mimik muka saya seolah-olah sedang bergembira sehingga membuatkan semua kru produksi ketawa.

“Banyak kali juga adegan itu terpaksa diulang, namun akhirnya saya berjaya memenuhi kehendak pengarah.

“Sepanjang penggambaran, saya tidak tertekan kerana semua kru produksi termasuk pelakon berpengalaman, terutama Delimawati sentiasa memberi dorongan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sabar untuk menyaksikan hasil lakonannya itu dan menantikan reaksi penonton.

“Difahamkan telefilem itu akan disiarkan pada Aidilfitri ini, tetapi tidak pasti pada hari raya yang ke berapa.

“Saya harap semua penonton terhibur dan memberi respons yang positif,” katanya.


Sementara itu, abangnya, Muhamad Alias, 29, Kampung Banggol Katong berkata, penggambaran telefilem raya itu dijalankan pada Jumaat dan Sabtu baru-baru ini.

“Produksi telefilem itu sengaja menjalankan penggambaran itu pada hari cuti kerana tidak ingin mengganggu sesi persekolahan Mohd Syukur.

“Saya dan keluarga berasa bertuah kerana berpeluang melihat sesi penggambaran telefilem itu selain dapat menumpang gembira untuk Mohd Syukur.




“Sepanjang penggambaran itu, Mohd Syukur berusaha memberi yang terbaik dan cepat belajar menyebabkan penggambaran berjalan lancar,” katanya.

Muhamad Alias berkata, Mohd Syukur turut menerima tawaran drama berepisod, tetapi masih dalam proses perbincangan selain menjalani penggambaran bersama Majalah 3.

Sumber Harian Metro Online


Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Stesen Keretapi ECRL Di Terengganu Yang Wajib Anda Tahu

Apakah Perbezaan Diantara Kabin Kelas Pertama Dan Kelas Perniagaan Didalam Pesawat ?