Kos ECRL Kurang RM21.5 Bilion : MB Terengganu Tunggu Pengumuman Rasmi PM
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunggu kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang perkembangan terkini Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Projek kontroversi itu diumumkan akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.
"Berhubung dengan perkembangan terkini ECRL, saya hanya akan beri ulasan setelah mendapat maklumat lebih jelas selepas 'pc' (sidang media) oleh PM (Perdana Menteri) pada Isnin ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam status yang dimuat naik di laman Twitter rasminya hari ini, mengulas tentang perkembangan tersebut.
Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri berkata, kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.
Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
SA itu merangkumi perjanjian bagi aspek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) ECRL.
“Kerajaan mengalu-alukan perjanjian itu yang membuka semula ruang kepada projek ECRL untuk terus dijalankan selepas rundingan selama beberapa bulan antara Malaysia dan China.
“Pengurangan kos itu pastinya akan memberi manfaat kepada rakyat dan mengurangkan bebanan dalam kedudukan kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kenyataan itu turut berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan sidang media pada Isnin mengenai perkara itu.
Sumber Teganukita.net
bebaloi ke kerajaan bayar pampasan yg mana kena tanah @rumah ug terlibat tu
BalasPadam