Penganang : Kueh Tradisi Terengganu Ini Laris Time Bulan Ramadan

Photo Bernama

Kuih penganang seumpama kuih bakar di negeri lain, merupakan juadah tradisi masyarakat Terengganu yang menjadi rebutan setiap kali tiba bulan ramadan, untuk hidangan ketika berbuka puasa atau juadah moreh selepas solat tarawih.

Berbeza dengan kuih bakar biasa, kuih penganang terdapat dalam pelbagai perasa, antara yang popular, perasa kacang dan telur. Kuih yang dibakar menggunakan dapur kayu ini mempunyai rasa yang sedikit manis, berlemak dan aroma daripada proses pembakaran kuih itu, menjadi tarikan segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.




Bagi pasangan suami isteri Roslan Mustafa dan Ruziyati Hashim, masing-masing berumur 46 tahun, kedatangan Ramadan membawa rezeki yang berlipat ganda apabila mereka mengusahakan pembuatan kuih itu di Kampung Bukit Bayas, dekat sini.

Kuih penganang pasangan ini sangat popular memandangkang lokasi gerai yang terletak di tepi jalan sehinggakan orang ramai boleh melihat dari jauh asap berkepul-kepul hasil pembakaran kuih itu yang seakan-akan memanggil mereka untuk singgah.

“Jika hari biasa kami hanya mampu menjual sekitar 100 hingga 150 biji sehari namun sepanjang bulan puasa ini meningkat satu kali ganda antara 300 hingga 400 biji sehari.

“Tempahan juga meningkat sepanjang bulan puasa ini daripada agensi kerajaan dan orang ramai untuk dijamu selepas solat tarawih mahupun waktu berbuka,” katanya kepada Bernama,di sini, hari ini.



Beliau berkata seawal pukul 9 pagi gerainya telah dibuka hingga pukul 4 petang. Sebanyak lapan dapur dibuka serentak untuk membakar kuih itu.

Penyediaan adunan kuih itu pula mudah dengan bahan asas seperti tepung, telur dan gula. Adunan itu akan dituang ke dalam acuan khas berbentuk ‘bunga’ yang diperbuat daripada tembaga dan dibakar menggunakan dapur kayu dan tempurung kelapa selama 15 minit.

Roslan berkata membuat kuih penganang merupakan warisan keluarga turun temurun yang dimulakan oleh ibu dan ibu saudaranya dan resipi adunan kuih itu juga merupakan resipi turun temurun milik keluarganya.

Photo Bernama

“Sebenarnya ramai pengusaha kuih ini di Terengganu, tetapi tidak ramai yang masih menggunakan kaedah tradisional seperti saya dalam menghasilkan kuih ini.

“Kebanyakan peniaga kini lebih gemar menggunakan ketuhar untuk membakar tetapi saya pilih untuk membakarnya menggunakan dapur lama dan tempurung kelapa sebagai bahan bakar.

“Saya lebih suka memelihara cara tradisional ini kerana rasa kuihnya juga agak berbeza berbanding dibakar di dalam ketuhar,” katanya.




Katanya kuih penganang telur di kedainya dijual pada harga RM6 sebiji, penganang kacang RM7 dan kuih bakar RM5.

Sementara itu seorang pelanggan, Romli Hussin, 71, berkata kuih yang diusahakan Roslan dan isteri sentiasa menjadi pilihan keluarganya bukan sahaja pada bulan puasa malahan hari-hari biasa.

Beliau yang tinggal di Kampung Batu Buruk sanggup memandu kereta kira-kira 15 minit dan beratur panjang demi untuk mendapatkan kuih kegemarannya itu.




“Dekat tempat lain bukan tidak ada jual tapi tidak menepati cita rasa saya lagipun cara tradisional yang digunakan menyebabkan kuih itu bertambah sedap.

“Dua atau tiga hari sekali saya memang wajib berkunjung ke gerai kuih penganang ini dan yang menjadi pilihan pastinya kuih penganang telur,” katanya.

Sumber Bernama



Ulasan

Like FB Maafsebut

Catatan popular daripada blog ini

Sedap Sangat Ke Minum Arak

Apakah Perbezaan Diantara Kabin Kelas Pertama Dan Kelas Perniagaan Didalam Pesawat ?

Sebab Mengejutkan 50% Kosmetik Founder Adalah Wanita Kelantan