USIA baru 12 tahun tapi sudah pun menggalas tanggungjawab besar apabila terpaksa memasak, membasuh dan mengemaskan rumah setiap hari. Nor Atikah Maisarah memikul amanah itu bagi menggantikan tanggungjawab seorang ibu dengan melakukan tugas berkenaan untuk bapa, Mohd Saidi Mohd Nor, 51 dan adik perempuannya, Nor Atikah Waheeda, 10. Dia yang ditinggalkan ibu kandung sejak berusia enam tahun, sudah biasa dengan kerja rumah seawal usia lapan tahun lagi, malah tanggungjawabnya semakin bertambah selepas bapanya terbabit kemalangan jalan raya pada Februari lalu.